AS tolak UNRWA salur bantuan di Gaza, dakwa jadi 'anak syarikat Hamas' - Utusan Malaysia

AS tolak UNRWA salur bantuan di Gaza, dakwa jadi ‘anak syarikat Hamas’

PENDUDUK Palestin berjalan di hadapan bangunan UNRWA yang musnah akibat serangan Israel di Gaza.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Amerika Syarikat (AS) menegaskan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) tidak akan memainkan sebarang peranan dalam penghantaran bantuan di Gaza, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sambil menolak kemungkinan Hamas terlibat dalam pentadbiran masa depan di wilayah itu.

Berucap pada sidang media semasa lawatan ke Israel pada Jumaat, Rubio mendakwa UNRWA menjadi ‘anak syarikat Hamas’, selari dengan pandangan kerajaan Israel yang dinafikan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sebagai respons, UNRWA menegaskan kehadirannya tetap penting bagi memenuhi keperluan kemanusiaan yang mendesak di wilayah yang dibom dan mengalami kekurangan makanan itu.

Dalam kenyataan di X, agensi itu menekankan ICJ mengiktiraf tiada organisasi lain boleh menggantikan peranan UNRWA dalam menyokong rakyat Gaza.

Farhan Haq, Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, turut menolak dakwaan Rubio, berkata, UNRWA adalah tulang belakang operasi kemanusiaan kita di Gaza.

Israel melarang agensi itu beroperasi selepas menuduh beberapa kakitangannya terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 tanpa memberikan bukti.

Penganalisis Al Jazeera, Nour Odeh, berkata dakwaan Rubio bahawa UNRWA adalah anak syarikat Hamas sangat mengejutkan dan meruntuhkan reputasi agensi serta semua yang terlibat di Gaza.

Menurutnya, UNRWA bukan sahaja dibebaskan oleh ICJ dan dua suruhanjaya siasatan berasingan, malah mempunyai mekanisme bantuan terbesar dan paling meluas di Gaza, dengan ribuan kakitangan serta sistem pengedaran bantuan yang tersusun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN