SINGAPURA: Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas eksport farmaseutikal dari Singapura bagi memberi lebih masa kepada syarikat untuk merundingkan pengecualian.
Pentadbiran Presiden, Donald Trump sebelum ini mengumumkan rancangan mengenakan tarif sebanyak 100 peratus ke atas semua produk farmaseutikal berjenama bermula 1 Oktober, kecuali bagi syarikat yang membina kilang pengeluaran di AS.
“Pelaksanaan tarif ini telah ditangguhkan bagi membolehkan syarikat farmaseutikal merundingkan pengecualian dengan pentadbiran AS,” kata Menteri Hal Ehwal Luar, Perdagangan dan Perindustrian, Gan Siow Huang di Parlimen.
Menurut Siow Huang, eksport farmaseutikal Singapura ke AS berjumlah purata 3.7 bilion dolar Singapura (RM12.02 bilion) setahun antara 2022 dan 2024.
“Lapan daripada 10 syarikat farmaseutikal terbesar dunia mempunyai kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Singapura dan 13 peratus daripada eksport domestik kami ke AS adalah produk farmaseutikal,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sudah berbincang dengan syarikat farmaseutikal yang beroperasi di Singapura mengenai kesan tarif AS dan ramai antara mereka sudah mempunyai rancangan membina atau memperluas kemudahan di negara itu.
“Mereka kini menunggu maklumat lanjut daripada pentadbiran AS untuk mengesahkan sama ada rancangan tersebut layak menerima pengecualian tarif,” katanya.
Singapura amat bergantung pada perdagangan antarabangsa dan terdedah kepada sebarang kelembapan global yang berpunca daripada tarif AS.
Kementerian Perdagangan pada Selasa turut memaklumkananggaran awal menunjukkan ekonomi Singapura berkembang sebanyak 2.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga hingga September, menurun berbanding tiga bulan sebelumnya susulan kesan tarif AS terhadap segmen pembuatan utama.-AFP