AS, Russia mula rundingan bina terowong bawah Selat Bering

AS, Russia mula rundingan bina terowong bawah Selat Bering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia dan Amerika Syarikat (AS) memulakan perbincangan rasmi mengenai pembinaan terowong mega bawah laut merentasi Selat Bering, yang bakal menghubungkan kedua-dua negara secara terus melalui sistem pengangkutan kereta api.

Pendedahan mengejutkan itu dibuat oleh Wakil Khas Presiden Russia bagi Hal Ehwal Ekonomi, Kirill Dmitriev, yang juga mengetuai Dana Pelaburan Langsung Russia (RDIF).

“Rundingan mengenai projek terowong kini bermula,” umum Dmitriev dalam satu hantaran di platform sosial X.

Presiden AS Donald Trump, dalam pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky di White House pada Jumaat, menyatakan beliau menganggap projek ini sebagai sesuatu yang “menarik” dan patut diterokai.

Dmitriev menjelaskan bahawa pembinaan terowong moden ini boleh disiapkan dalam masa kurang lapan tahun, dengan kos kurang daripada AS$8 bilion, jauh lebih rendah berbanding anggaran konvensional sebanyak AS$65 bilion.

Pengurangan kos ini dikatakan hasil penggunaan teknologi milik syarikat The Boring Company, yang dimiliki oleh jutawan AS Elon Musk, yang sebelum ini berjaya membina terowong berkelajuan tinggi di beberapa lokasi di AS.

Dmitriev turut mencadangkan nama rasmi projek ini sebagai “Terowong Putin-Trump”, sebagai simbol hubungan baharu antara dua kuasa besar dunia yang sebelum ini sering bersaing dalam arena geopolitik.

Beliau menegaskan projek ini mempunyai potensi besar dari segi kerjasama pembangunan sumber, penciptaan pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi serantau.

“Kami di RDIF sudah ada pengalaman membina jambatan rentas sempadan seperti di antara Russia dan China. Jadi kami percaya, dengan pendekatan betul, projek ini bukan sahaja realistik, tetapi boleh menjadi simbol dunia baharu yang saling bergantung,” katanya.

Selat Bering, yang memisahkan Russia dan Alaska (AS), selama ini sering dianggap sebagai zon strategik sensitif dalam konflik geopolitik. Namun, jika projek ini direalisasikan, ia boleh mengubah landskap hubungan antarabangsa dan menjadi simbol keterbukaan dan kerjasama ekonomi global.

Pemerhati politik antarabangsa kini menunggu untuk melihat sama ada projek berani ini benar-benar akan diteruskan, atau sekadar satu lagi wacana geopolitik dalam era Trump-Putin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN