WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan cadang merombak operasi bantuan kemanusiaan di Gaza termasuk kemungkinan menggantikan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang dipalit kontroversi, menurut satu pelan dilihat Reuters.
Langkah itu diambil ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa bantuan ke wilayah bergolak itu masih jauh daripada mencukupi.
Cadangan itu merupakan antara beberapa pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh Washington, yang mencadangkan penubuhan Gaza Humanitarian Belt, satu zon kemanusiaan yang merangkumi antara 12 hingga 16 hab bantuan di sepanjang kawasan garisan di mana tentera Israel telah berundur dalam Gaza.
Hab-hab tersebut akan menyalurkan bantuan kepada orang awam di kedua-dua sisi garisan itu, menurut seorang pegawai AS dan sumber kemanusiaan yang mengetahui pelan tersebut.
Hab berkenaan juga akan merangkumi kem rekonsiliasi sukarela untuk militan menyerahkan senjata bagi mendapatkan pengampunan, dan menjadi pangkalan hadapan bagi pasukan penstabilan antarabangsa bagi membantu proses nyahmilitarisasi Gaza.
Di bawah cadangan itu, GHF akan diserap atau digantikan oleh organisasi lain termasuk cabang Palang Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Maghribi, serta Samaritan’s Purse, sebuah badan amal Kristian evangelis.
Seorang pegawai AS menggambarkan pelan itu sebagai pendekatan konseptual yang masih dalam perbincangan.
“Ia bukan satu-satunya idea di meja rundingan,” katanya, sambil menambah masih terlalu awal untuk mengulas mengenai pelaksanaannya. Seorang pegawai kemanusiaan yang mengetahui dokumen tersebut berkata ia lebih seperti kertas cadangan awal dan belum menjadi dasar.
“Pelbagai pendekatan sedang dipertimbangkan untuk menyalurkan bantuan dengan berkesan kepada penduduk Gaza namun tiada apa-apa yang dimuktamadkan,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran AS yang enggan dikenali.
Kemunculan pelan tersebut hadir selepas WHO memberi amaran bahawa bantuan ke Gaza masih terlalu sedikit walaupun terdapat gencatan senjata yang diusahakan AS antara Israel dan Hamas.
Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pada Khamis bahawa membangunkan semula sistem kesihatan Gaza yang musnah mungkin menelan kos sekurang-kurangnya AS$7 bilion (RM29.5 bilion).
Beliau menggesa Israel membuka semula lintasan Rafah ke Mesir, di mana sejumlah besar bantuan kini tersekat.
Penghantaran bantuan merosot dengan ketara sejak Israel menguasai lintasan Rafah pada Mei 2024. Kurang daripada empat pesakit dibenarkan keluar dari Gaza setiap hari sejak gencatan senjata sebelumnya runtuh pada Mac, menurut agensi itu.
WHO turut melaporkan sedikit peningkatan akses makanan di bawah gencatan semasa namun lebih 600,000 penduduk Gaza masih berdepan kebuluran kritikal. -AGENSI









