WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mula mengerahkan dron pengawasan ke ruang udara Semenanjung Gaza bagi memastikan Israel dan Hamas mematuhi gencatan senjata yang sudah dicapai.
Langkah ini diambil ketika semakin banyak negara menghantar wakil untuk membantu usaha yang diterajui AS bagi memantau perjanjian damai yang masih rapuh itu.
Menurut The New York Times, tentera AS mula menjalankan penerbangan dron di ruang udara Semenanjung Gaza untuk memantau pelaksanaan gencatan senjata dengan kebenaran Israel, namun pegawai terbabit tidak mendedahkan dari mana dron-dron tersebut dikendalikan.
Sumber berkata, penerbangan pengawasan itu bertujuan memberikan Washington gambaran bebas mengenai keadaan sebenar di lapangan, serta membantu Pusat Penyelarasan Sivil-Tentera (CMCC) di selatan Israel bagi menyelia pelaksanaan pelan damai yang diterajui Presiden AS, Donald Trump.
Laporan itu turut menyebut AS sebelum ini pernah menjalankan misi dron di Gaza untuk membantu mengesan tebusan, namun operasi kali ini dilihat sebagai usaha Washington untuk memantau sendiri perkembangan di Gaza tanpa bergantung sepenuhnya kepada saluran risikan Israel.
“Ini adalah bentuk pemantauan AS yang sangat menyeluruh di kawasan yang dianggap Israel sebagai ancaman aktif.
“Jika wujud ketelusan dan kepercayaan penuh antara Israel dan AS, langkah ini tidak akan diperlukan. Namun jelas AS mahu mengelak sebarang salah faham,” kata bekas Duta AS ke Israel, Daniel B. Shapiro.
PERLUAS PAKATAN CMCC
Perkembangan ini berlaku ketika AS memperluas pakatan pemantau gencatan senjata di Gaza, dengan lebih banyak negara menghantar wakil ke CMCC.
Jordan, United Kingdom (UK), Jerman, Denmark, Kanada Australia, Perancis, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertai inisiatif berkenaan, menurut pegawai AS kepada The Times of Israel pada Jumaat.
CMCC, yang ditubuhkan di bawah pimpinan AS berperanan untuk menyelaras bantuan kemanusiaan, logistik dan keselamatan ke Gaza serta membantu mengawasi fasa penstabilan pascaperang.
Kira-kira 200 anggota tentera AS dihantar untuk menubuhkan pusat tersebut yang kini menempatkan pasukan dari beberapa negara sekutu.
Komando Pusat Tentera AS (CENTCOM) menegaskan pasukan tentera AS tidak akan memasuki Gaza, sebaliknya akan membantu memudahkan penghantaran bantuan antarabangsa ke wilayah itu.
“CMCC direka untuk menyokong usaha penstabilan. Anggota tentera AS akan membantu mengalirkan bantuan kemanusiaan, logistik dan keselamatan daripada rakan antarabangsa ke Gaza,” kata CENTCOM dalam kenyataan semasa pelancarannya.
Pusat itu dirasmikan pada Selasa oleh Naib Presiden AS, JD Vance, bersama Komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper dan Leftenan Jeneral Patrick Frank, yang dilantik mengetuai pasukan tentera AS di situ.
Bagaimanapun, struktur sebenar, hierarki perintah dan status undang-undang CMCC masih belum diperincikan, dan tidak jelas negara mana yang akan bersetuju menghantar pasukan pengaman ke Gaza di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada masa hadapan.
HAMAS BELUM LUMPUH
Penilaian ketenteraan terkini turut menunjukkan Hamas masih mempunyai sekitar 20,000 anggota dalam sayap tenteranya, berbanding 30,000 sebelum serangan 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan mencetuskan perang.
Menurut IDF, lima briged dan 24 batalion Hamas dibubarkan secara sistematik sepanjang 24 bulan pertempuran, walaupun beberapa unit di Gaza tengah masih beroperasi.
Tentera Israel mendakwa menewaskan lebih 22,000 pejuang Hamas, namun kumpulan itu masih mampu merekrut anggota baharu walaupun mereka kurang latihan dan kemampuan.
IDF kini melihat Hamas sebagai gerakan gerila yang lemah tetapi masih bersenjata, memiliki ratusan roket jarak dekat dan ribuan senjata kecil.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Hamas bersama beberapa paksi kumpulan Palestin lain mengumumkan rancangan menubuhkan jawatankuasa teknokrat bebas untuk mentadbir Gaza selepas perang.
Walaupun kenyataan itu digambarkan sebagai usaha ke arah perpaduan Palestin, ia dilihat lebih bersifat simbolik.
Hamas berulang kali menyatakan kesediaan untuk menyerahkan kuasa mentadbir, tetapi isu pelucutan senjata masih belum disentuh.
Sejak perjanjian gencatan senjata ditandatangani, anggota bersenjata Hamas dilihat kembali ke jalan-jalan Gaza, terutamanya di Gaza City dan menjalankan aktiviti secara terbuka.
Berucap di CMCC pada Jumaat, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Hamas tidak boleh terlibat dalam pentadbiran Gaza pada masa depan, satu pendirian yang dikongsi oleh semua negara sekutu dalam pelan pascaperang pentadbiran Trump.
Kenyataan itu dibuat selepas Sidang Kemuncak Sharm el-Sheikh pada 13 Oktober, yang dihadiri Trump, bersama pemimpin Mesir, Qatar dan Turkiye, di mana mereka menandatangani rangka kerja bagi pembinaan semula dan pentadbiran Gaza.
“Pelaksanaan pelan damai 20 perkara ini bukan perjalanan yang lurus. Akan ada naik turun, selekoh dan cabaran. Namun kami mempunyai sebab untuk kekal optimis terhadap kemajuan yang sedang dicapai,” katanya.










