TEL AVIV: Sebuah organisasi hak asasi manusia Israel, Adalah yang aktif memperjuangkan keadilan undang-undang untuk individu ditindas tampil mewakili para peserta flotila bantuan ke Gaza yang ditahan tentera Israel.
Menurut Pengarah Undang-Undang Adalah, Suhad Bishara, pasukannya menunggu ketibaan kumpulan aktivis yang ditahan pada malam sebelumnya di pelabuhan Ashdod, kira-kira 40 kilometer di utara Semenanjung Gaza.
“Sebaik tiba, mereka akan dikenal pasti dan dipindahkan ke bawah bidang kuasa pihak Imigresen untuk proses pengusiran,” kata Bishara kepada Reuters pada Khamis.
Selepas itu, para aktivis dijangka ditahan di Penjara Ketziot di selatan Israel.
Penjara Ketziot merupakan fasiliti keselamatan tinggi yang jarang digunakan untuk tahanan imigresen.
Tindakan luar biasa ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi dan pemerhati antarabangsa.
“Kebimbangan utama kami sekarang ialah keselamatan dan tahap kesihatan para aktivis ini.
“Kami juga mahu memastikan mereka mendapat nasihat guaman sebelum dan semasa perbicaraan di Tribunal Imigresen, serta ketika ditahan dalam penjara Israel,” kata Bishara.
Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Sciences Po, Paris, Omer Shatz, menjelaskan penggunaan Penjara Ketziot untuk menempatkan aktivis flotila adalah sesuatu yang luar biasa.
“Dalam insiden flotila sebelum ini, para aktivis tidak ditahan di penjara tahap keselamatan seperti ini.
“Ketziot terkenal dengan keadaan yang keras dan tidak sesuai untuk tahanan imigresen,” ujar Shatz.
Menurutnya, keputusan untuk menempatkan para aktivis di Ketziot mungkin berpunca daripada cabaran logistik menguruskan sekitar 500 orang aktivis secara serentak.










