BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada Isnin mengarahkan pelaksanaan bantuan segera selepas banjir besar melanda 16 wilayah di negara itu akibat hujan lebat dan ribut berterusan sejak minggu lalu yang telah meragut 12 nyawa serta menjejaskan lebih 100,000 isi rumah.
Kementerian Dalam Negeri Thailand memaklumkan, banjir melanda kawasan di utara, tengah dan timur laut negara itu, dengan wilayah Uttaradit di bahagian utara dikenal pasti antara kawasan paling teruk terjejas, di mana lima kematian dilaporkan.
“Air naik terlalu cepat, kami sempat naik ke bumbung tetapi ia mula runtuh, jadi kami terpaksa keluar menyelamatkan diri,” kata seorang penduduk dikenali sebagai Sakchai kepada stesen penyiaran ThaiPBS.
“Kami kini menumpang di sebuah kuil,” tambahnya.
Anutin berkata, pihak berkuasa sedang giat menyalurkan bantuan, menilai kerosakan dan bersiap siaga menghadapi hujan tambahan ketika musim monsun mula melanda.
“Thailand kini berdepan banjir, ribut dan tanah runtuh di banyak wilayah, menyebabkan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa,” katanya dalam mesyuarat pasukan khas pengurusan bencana.
Tahun lalu, 22 orang maut akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan monsun di seluruh Thailand. -AGENSI