ISTANBUL: Sebanyak 11 buah kapal kini belayar ke Semenanjung Gaza dalam misi mencabar sekatan laut Israel yang berlanjutan hampir dua dekad, menurut kenyataan Pertubuhan Freedom Flotilla Coalition (FFC) pada Khamis.
Gabungan kapal itu terdiri daripada dua bot yang berlepas dari Otranto, Itali pada 25 September lalu, membawa bendera Itali dan Perancis, serta sebuah lagi kapal dikenali sebagai Conscience yang meninggalkan pelabuhan pada 30 September.
Kapal-kapal tersebut dijangka bergabung dengan lapan lagi bot dari konvoi Thousand Madleens to Gaza dalam masa terdekat, membentuk satu armada besar yang membawa bantuan kemanusiaan dan mesej solidariti global kepada penduduk Gaza.
Menurut FFC, sekitar 100 aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara berada di atas kapal-kapal berkenaan.
Ketika ini, armada tersebut berada di perairan berhampiran Crete, Greece dan dijangka meneruskan pelayaran ke perairan Gaza dalam beberapa hari lagi.
Konvoi terbaharu ini dilancarkan hanya sehari selepas insiden ketegangan di mana tentera laut Israel menyerang dan menahan 42 bot kecil yang turut dalam misi sama ke Gaza. Lebih 450 aktivis ditahan, dan kapal-kapal mereka dirampas.
Freedom Flotilla Coalition, yang ditubuhkan sejak tahun 2008, telah menganjurkan puluhan misi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza. Mereka menyifatkan tindakan Israel sebagai tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan.
Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza sejak tahun 2007, dan menurut FFC, sekatan itu diperketatkan sejak Mac lalu apabila pintu sempadan ditutup sepenuhnya serta bantuan makanan dan perubatan disekat, menyebabkan krisis kemanusiaan semakin memburuk.
Kini, hampir 2.4 juta penduduk Gaza hidup dalam keadaan terputus bekalan asas, dengan kebuluran, penyakit dan kehausan melanda. PBB serta kumpulan hak asasi manusia berulang kali memberi amaran bahawa Gaza semakin “tidak sesuai untuk didiami”.