'Terima kasih Malaysia untuk kasih sayang dan prihatin kepada kami di Indonesia' - Utusan Malaysia

‘Terima kasih Malaysia untuk kasih sayang dan prihatin kepada kami di Indonesia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pengguna media sosial di Indonesia menyampaikan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tampil menghulurkan bantuan kepada pekerja e-hailing di republik itu yang terkesan akibat penutupan jalan dan kesesakan teruk berikutan protes besar-besaran sejak minggu lalu.

Tindakan solidariti rakyat Malaysia itu termasuklah memesan makanan melalui aplikasi Grab dan perkhidmatan ojek dalam talian (Ojol), kemudian menyerahkan pesanan tersebut terus kepada para penghantar sebagai bentuk sokongan.

Seorang pengguna media sosial Indonesia, milktea_sansan, menzahirkan rasa terharu dengan bantuan dan sokongan moral yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

“Terima kasih Malaysia untuk cinta dan kasih yang begitu besar terhadap Indonesia dan teman-teman driver Grab dan Gojek. Kalian memesan makanan untuk para driver dan teman-teman mereka. Bantuan kalian sangat bererti untuk mereka.

“Terima kasih, sangat terharu dengan cinta, kasih kalian. We love you, Malaysia,” katanya.

Warga Indonesia lain, Larasati, turut memuat naik video di TikTok bagi meluahkan penghargaan kepada rakyat Malaysia.

“Rakyat Indonesia harus tahu rakyat Malaysia sedang berbondong-bondong menolong, terutama pemandu Grab di Jakarta.

“Mereka tukar lokasi ke Jakarta dan pesan makanan melalui GrabFood untuk diberikan kepada pemandu Grab atau Gojek di sana.

“Terima kasih banyak kepada rakyat Malaysia yang menyokong rakyat Indonesia,” katanya, yang kini berada di Malaysia, sambil mendoakan kebaikan itu dibalas Tuhan.

Sebelum itu, seorang pengguna media sosial, lebli_aiin86, berkongsi dia turut serta dalam gerakan solidariti dengan membeli barangan keperluan asas untuk pemandu ojek.

“Baru sertai solidariti dari Malaysia untuk Indonesia. Ramai pilih lokasi Jakarta dan pesan makanan. Jadi saya tukar ke Bandung, beli barangan makanan seperti beras, minyak dan lain-lain serta beri sedikit tip. Semoga Indonesia baik-baik saja,” tulisnya.

Sementara itu, pengguna Thread bernama Hanifjamals menyifatkan usaha rakyat Malaysia itu sebagai lambang kasih sayang terhadap rakyat Indonesia.

“Ada yang pesan makanan untuk diberikan kepada isteri pemandu, dan ada juga yang minta diagihkan kepada orang lain,” katanya.

Protes di Jakarta tercetus susulan bantahan terhadap elaun perumahan Ahli Parlimen yang dilaporkan mencecah 50 juta rupiah sebulan, selain pelbagai dasar kerajaan yang dianggap membebankan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup, pemotongan subsidi, pemecatan besar-besaran, dan cukai hartanah yang tinggi.

Tunjuk perasaan itu turut merebak selepas kematian tragis seorang penunggang ojek, Affan Kurniawan, yang dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi. Setakat ini, sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan terkorban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN