Rajin baca buku boleh kurangkan hukuman penjara

Rajin baca buku boleh kurangkan hukuman penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASHKENT: Banduan di Uzbekistan kini boleh memohon pengurangan hukuman jika mereka membaca buku yang dipilih pihak berkuasa bagi memupuk nilai rohani dan moral yang betul, menurut pegawai pada Jumaat.

Ahli Parlimen di negara bekas Soviet Asia Tengah itu pada Khamis meluluskan pindaan kod penal yang memperkenalkan skim tersebut kepada sekitar 13,500 banduan, kecuali mereka yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

“Banduan perlu memilih buku daripada senarai yang diluluskan oleh Pusat Kerohanian dan Pencerahan Republik, sebuah badan kerajaan yang bertujuan membentuk nilai rohani dan moral yang betul dalam kalangan banduan.

“Bagi setiap buku yang dibaca, hukuman boleh dikurangkan selama tiga hari, tetapi tidak melebihi 30 hari setahun,” menurut kenyataan Senat negara itu.

Sebuah jawatankuasa khas akan mengesahkan sama ada banduan benar-benar membaca buku tersebut.

Senarai buku yang dibenarkan itu bagaimanapun belum didedahkan kepada umum.

Sejak pemilihan Presiden, Shavkat Mirziyoyev pada 2016, Uzbekistan mula membuka ruang kepada dunia luar selepas suku abad terasing, berjaya menarik pelaburan asing dan membangunkan sektor pelancongan.

Namun, pembangkang politik dan masyarakat sivil masih hampir tidak wujud, manakala media dan ekonomi masih banyak dikawal kerajaan.

Awal tahun ini, Uzbekistan melalui agensi berita kerajaan memaklumkan sedang berusaha memastikan hak dan kebebasan banduan serta menyesuaikan undang-undang jenayah dengan norma undang-undang antarabangsa.

Namun dalam laporan 2025, Human Rights Watch menyatakan, penyeksaan dan layanan buruk masih menjadi masalah serius manakala Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Uzbekistan untuk menghapuskan amalan tersebut.

Amnesty International pula menyuarakan kebimbangan pihak berkuasa Uzbekistan terus memperketat kawalan terhadap kebebasan bersuara.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN