Mahkamah Agung India arah kerajaan jawab gesaan siasatan bebas nahas Air India - Utusan Malaysia

Mahkamah Agung India arah kerajaan jawab gesaan siasatan bebas nahas Air India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Mahkamah Agung India semalam mengarahkan kerajaan untuk memberikan maklum balas terhadap permohonan supaya siasatan bebas dijalankan berhubung nahas pesawat Air India pada 12 Jun lalu yang meragut 260 nyawa.

Permohonan itu difailkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Safety Matters Foundation menerusi litigasi kepentingan awam, sekali gus menjadi kali pertama mahkamah tertinggi negara itu meneliti siasatan rasmi yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

Peguam mewakili NGO tersebut membangkitkan kebimbangan berhubung keanggotaan panel siasatan yang turut melibatkan pegawai daripada Pengarah Jeneral Penerbangan Awam (DGCA), iaitu badan pengawal selia keselamatan penerbangan India.

Menurut NGO berkenaan, penglibatan pegawai DGCA mewujudkan konflik kepentingan kerana siasatan tersebut juga perlu menilai tindakan pengawalseliaan serta kemungkinan kelemahan badan itu sendiri.

Nahas membabitkan pesawat Boeing 787 yang dikendalikan Air India itu mengorbankan 241 daripada 242 penumpang dan anak kapal, selain 19 orang awam di darat selepas pesawat kehilangan kuasa enjin sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad.

Laporan awal siasatan yang dikeluarkan kerajaan India sebelum ini menyebut berlaku kekeliruan dalam kokpit apabila suis enjin bahan api bertukar daripada ‘run’ kepada ‘cutoff’ hampir serentak sejurus pesawat berlepas.

Laporan tersebut dilihat seakan melepaskan tanggungjawab daripada syarikat Boeing serta pengeluar enjin, GE Aerospace namun, beberapa kumpulan keluarga mangsa mengkritik siasatan kerana terlalu menumpukan kesilapan juruterbang semata-mata.

“Daripada lima ahli panel siasatan, tiga daripadanya merupakan pegawai kanan DGCA. Ini jelas menimbulkan konflik kepentingan yang serius,” kata peguam NGO berkenaan, Prashant Bhushan kepada mahkamah.

Mahkamah Agung memaklumkan pihaknya akan meneliti tuntutan untuk menjalankan siasatan yang adil, bebas serta segera, dan sudah meminta kerajaan memberikan jawapan rasmi.

Kes ini muncul hanya beberapa hari selepas keluarga empat penumpang memfailkan saman berasingan di Amerika Syarikat (AS) terhadap Boeing serta Honeywell, syarikat yang menghasilkan suis berkenaan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN