‘Kami dengar banyak bunyi letupan tapi kami sedikit pun tidak gentar’

‘Kami dengar banyak bunyi letupan tapi kami sedikit pun tidak gentar’

AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Penganjur Flotilla Global Sumud yang membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis pro-Palestin ke Gaza mendakwa konvoi mereka diserang oleh beberapa dron tidak dikenali ketika berada di perairan berhampiran Greece, lewat malam Selasa.

Menurut kenyataan rasmi flotilla, mereka mendengar sekurang-kurangnya 10 bunyi letupan dan menyaksikan objek tidak dikenali dijatuhkan dari dron, selain mengalami gangguan komunikasi radio.

“Beberapa dron, objek yang dijatuhkan, komunikasi diganggu dan letupan didengar dari beberapa buah kapal. Kami menyaksikan sendiri operasi psikologi ini. Namun, kami tidak gentar,” menurut kenyataan itu.

Aktivis hak asasi manusia dari Jerman, Yasemin Acar, yang turut serta dalam flotilla itu berkata, mereka hanya bawa bantuan kemanusiaan.

“Kami tidak bersenjata. Kami tidak mengancam sesiapa. Sebaliknya, Israel yang membunuh ribuan orang dan menyebabkan seluruh populasi kebuluran,” katanya dalam video yang dikongsi dalam media sosial.

Dalam video terdahulu, Acar turut mendakwa mereka melihat 15 hingga 16 dron berlegar di udara dan menyatakan komunikasi radio mereka diganggu dengan muzik kuat dimainkan secara tiba-tiba.

Satu rakaman video yang dimuat naik ke laman Instagram rasmi flotilla menunjukkan letupan yang didakwa berlaku dari atas kapal Spectre pada pukul 1:43 waktu tempatan.

Dalam video lain, aktivis dari Brazil, Thiago Avila, berkata empat kapal disasarkan oleh dron yang melepaskan objek ke arah mereka, sebelum satu lagi letupan kedengaran di latar belakang.

Flotilla Global Sumud memulakan pelayaran dari Barcelona awal bulan ini, dengan misi untuk memecah sekatan Israel ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan makanan serta perubatan ke wilayah yang kini dilanda krisis kemanusiaan.

Flotilla itu terdiri daripada 51 kapal, kebanyakannya kini berhampiran pulau Crete, Greece.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN