Hakim AS halang kerajaan hantar pulang kanak-kanak Guatemala tanpa penjaga - Utusan Malaysia

Hakim AS halang kerajaan hantar pulang kanak-kanak Guatemala tanpa penjaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad menghalang pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menghantar pulang sekumpulan kanak-kanak migran Guatemala yang sudah dibawa menaiki pesawat, selain ratusan lagi yang berada di pusat perlindungan kerajaan, selepas peguam mereka membuat rayuan kecemasan.

Insiden dramatik itu mengingatkan semula kepada beberapa cabaran mahkamah saat akhir terhadap usaha pengusiran era Trump sebelum ini.

Kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan, Pusat Undang-Undang Imigresen Nasional (NILC), sebuah kumpulan advokasi pro-migran, memfailkan usul kecemasan di Mahkamah Daerah Washington DC untuk menghentikan pemindahan 10 kanak-kanak migran tanpa penjaga dari Guatemala.

Dalam satu pendengaran luar biasa sempena cuti hujung minggu, Hakim Daerah Sparkle Sooknanan berkata beliau dikejutkan daripada tidur pada jam 2.35 pagi selepas dimaklumkan mengenai kes tersebut. Beliau kemudian mengeluarkan perintah sekatan sementara selama 14 hari bagi menghalang penghantaran pulang kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun itu.

Perintah tersebut turut diperluaskan merangkumi semua kanak-kanak Guatemala tanpa penjaga yang berada di bawah jagaan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan AS dianggarkan mencecah ratusan orang.

Sooknanan mengarahkan peguam kerajaan mengesahkan sebelum petang Ahad bahawa kanak-kanak terbabit telah dikeluarkan daripada pesawat. Namun sehingga malam, kerajaan gagal memaklumkan perkembangan itu dan hakim mengarahkan penjelasan segera diberikan.

Trump melancarkan tindakan keras imigresen selepas kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, termasuk usaha menjejaki serta menghantar pulang kanak-kanak migran tanpa penjaga.

Pentadbirannya turut mencapai perjanjian dengan Guatemala bagi membolehkan kanak-kanak tanpa penjaga dihantar pulang, dengan rancangan pengusiran dijadual bermula hujung minggu ini, menurut seorang pegawai semasa dan dua bekas pegawai AS kepada Reuters. CNN melaporkan rancangan itu pada Jumaat lalu.

Kanak-kanak migran yang tiba di sempadan AS tanpa ibu bapa atau penjaga sah akan dikategorikan sebagai ‘unaccompanied’ dan ditempatkan di pusat perlindungan kerajaan persekutuan sehingga mereka boleh diserahkan kepada ahli keluarga atau keluarga angkat, selaras dengan undang-undang persekutuan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN