Flotilla Sumud Global dijangka tiba di Gaza esok

Flotilla Sumud Global dijangka tiba di Gaza esok

PESERTA Global Sumud Flotilla menaiki kapal ketika berlepas dari Tunisia menuju ke Gaza pada 14 September lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Flotilla Sumud Global (FSG) kini hanya tinggal 399 batu nautika dari Semenanjung Gaza dan dijangka tiba di wilayah yang dikepung itu esok atau selewat-lewatnya 1 Oktober, menurut kenyataan penganjur yang dipetik agensi berita Anadolu Ajansi (AA).

Dalam hantaran di platform X, gabungan flotila tersebut menyatakan setiap detik yang berlalu membawa mereka semakin hampir kepada Gaza dan kepada keadilan yang sewajarnya diperoleh rakyatnya.

“Masa berlalu dan flotila turut bergerak bersamanya,” kata kenyataan FSG sambil berkongsi peta laluan pelayaran mereka.

FSG terdiri daripada kira-kira 50 buah kapal, yang belayar awal bulan ini dengan matlamat utama memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza serta menghantar bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan kritikal ke wilayah berkenaan.

Jurucakap armada Maghreb dalam flotila tersebut, Wael Naouar, berkata ketibaan dijangka esok, namun tidak menolak kemungkinan kelewatan disebabkan keadaan cuaca.

Dalam satu rakaman video yang dikongsi aktivis dari Turkiye di atas kapal, dilaporkan sebuah kapal tentera laut Greece berundur selepas mengiringi konvoi di perairan antarabangsa.

Bagaimanapun, tentera laut Sepanyol dan Itali dilaporkan masih mengiringi dan memberi perlindungan kepada para aktivis.

“Satu-satunya penghalang antara kami dan Gaza ketika ini hanyalah laut,” kata Ross Ykema, seorang aktivis dari Belanda dalam kenyataan video.

Sejak 2 Mac lalu, Israel menutup sepenuhnya lintasan masuk ke Gaza, mengakibatkan konvoi bantuan makanan dan ubat-ubatan tidak dapat masuk dan mencetuskan krisis kebuluran yang semakin meruncing.

Walaupun ada bekalan yang dibenarkan masuk secara berselang-seli, banyak daripadanya telah dirampas oleh kumpulan bersenjata, yang menurut pihak berkuasa Gaza, berada di bawah perlindungan tentera Israel.

Misi flotila ini mendapat perhatian dan sokongan antarabangsa yang semakin meningkat, di tengah-tengah gesaan supaya sekatan terhadap Gaza dihentikan serta-merta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN