JAKARTA: Kira-kira 400 murid dilaporkan jatuh sakit selepas menikmati makanan percuma di sekolah di wilayah Bengkulu, Indonesia, menjadikannya kes keracunan makanan terbesar setakat ini yang dikaitkan dengan program utama Presiden, Prabowo Subianto.
Program makanan percuma untuk kanak-kanak dan wanita hamil itu dilancarkan pada Januari lalu, namun pelaksanaannya berulang kali tercemar dengan insiden keracunan makanan berskala besar di beberapa wilayah.
Bulan lalu, seramai 365 murid turut sakit selepas menikmati makanan percuma di sekolah di Jawa Tengah.
Laporan media tempatan menyebut, hasil makmal mendapati kejadian berpunca daripada masalah kebersihan.
Di Bengkulu, kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit perut, menurut rakaman video yang diedarkan kerajaan tempatan.
Timbalan Gabenor Bengkulu, Mian berkata, siasatan penuh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Kami akan hentikan sementara operasi dapur ini sementara siasatan dilakukan untuk mencari punca. Tugas ini di bawah pasukan penyiasat Agensi Pemakanan Nasional (BGN) dan pihak berkuasa,” katanya.
BGN yang menguruskan program itu belum memberikan sebarang komen.
Sejak dilancarkan, program makanan percuma ini telah berkembang melibatkan lebih 20 juta penerima, dan kerajaan merancang untuk memperluas liputan kepada 83 juta penerima menjelang hujung tahun dengan peruntukan sebanyak 171 trilion rupiah (RM43.9 billion). -AGENSI