CHENNAI: Seramai 12 pelancong dari Malaysia cedera apabila sebuah van yang mereka naiki terhumban kira-kira 30 meter ke dalam lembah berhampiran Vellaiparai di Kodaikanal selepas pemandu dipercayai hilang kawalan di jalan berbukit.
Lapor Daily Thanthi, kenderaan itu membawa kumpulan pelancong berkenaan pulang dari kuil Palani Murugan apabila ia terbabas lalu merempuh penghadang besi sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 30 meter.
Menurut laporan, kumpulan seramai 12 pelancong dari Malaysia itu diketuai seorang lelaki bernama Bhaskaran dan tiba di Tamil Nadu beberapa hari lalu untuk melawat pelbagai lokasi pelancongan dan keagamaan.
Saksi berkata, penumpang sempat menjerit meminta tolong ketika van tergelincir, sebelum ia berhenti selepas menghentam sebatang pokok dan tidak terus terjatuh lebih dalam.
Penduduk tempatan segera turun ke lokasi nahas, membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan rosak itu.
Semua 12 pelancong Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan serius dan segera dihantar ke Hospital Kerajaan Kodaikanal untuk rawatan lanjut.