SHANGHAI: Seorang wanita diselamatkan selepas terperangkap selama 30 jam dalam sebuah bilik yang terkunci di kawasan rumah tumpangan di wilayah Sichuan, barat China, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Menurut laporan akaun media sosial kerajaan tempatan di bandar Leshan, wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai Zhou sedang membersihkan rumah tumpangan tersebut apabila dia memasuki sebuah bilik tidur tanpa membawa telefon bimbitnya.
Malangnya, kunci pintu bilik itu rosak, menyebabkan dia tidak dapat membuka pintu dari dalam.
Selama satu setengah hari, Zhou terperangkap tanpa makanan dan kemudahan tandas di bilik yang terletak di tingkat enam bangunan tersebut.
Selepas pelbagai cubaan untuk menyelamatkan diri gagal, Zhou mengambil tindakan drastik dengan menggigit jarinya dan menggunakan darahnya untuk menulis mesej ‘110 62’ pada sarung bantal, yang kemudiannya dicampakkan keluar dari tingkap.
Nombor 625 merujuk kepada nombor bilik tempat dia terperangkap, manakala 110 adalah nombor kecemasan di China.
Mesej itu kemudian disedari oleh seorang penghantar makanan, Zhang Kun, yang segera menghubungi polis.
“Saya agak takut, tetapi apabila saya melihat nombor ‘110’ pada bantal itu, saya sedar ini mungkin panggilan kecemasan,” kata Zhang dalam kenyataan.
Rakaman video oleh media tempatan menunjukkan Zhou yang kelihatan kusut mengucapkan terima kasih kepada anggota polis selepas mereka menendang pintu untuk membebaskannya.
Sebagai menghargai tindakan pantasnya, Zhang dianugerahkan hadiah sebanyak 3,000 yuan (RM1,773) oleh pihak berkuasa Leshan atas peranannya dalam menyelamatkan Zhou. -AGENSI