Turkiye bina tempat perlindungan bom di semua wilayah

Turkiye bina tempat perlindungan bom di semua wilayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Kerajaan Turkiye memulakan pembinaan tempat perlindungan bom di seluruh wilayah negara itu, susulan kebimbangan terhadap ancaman konflik serantau yang semakin memuncak.

Menurut sumber yang dipetik portal Middle East Eye, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan meluluskan projek berkenaan pada mesyuarat Kabinet Jun lalu, ketika ketegangan antara Iran dan Israel memuncak dengan serangan udara Tel Aviv yang dibalas peluru berpandu balistik oleh Teheran.

Projek itu dilaksanakan oleh Pentadbiran Pembangunan Perumahan Turkiye (TOKI) dan dilaporkan sudah dimulakan di beberapa bandar utama termasuk ibu negara, Ankara.

Langkah itu selaras dengan laporan Akademi Perisikan Negara Turkiye pada bulan lalu mengenai perang 12 hari antara Iran dan Israel.

Laporan berkenaan mengesyorkan kerajaan memperkukuh sistem amaran awal serta membina tempat perlindungan moden bagi mengurangkan korban orang awam jika berlaku konflik berskala besar.

Pegawai Turkiye dilaporkan mahukan rangkaian tempat perlindungan yang meluas di bandar-bandar utama seperti di Israel, yang membolehkan penduduk berlindung semasa serangan.

Saluran televisyen NTV memetik sumber rasmi sebagai berkata, objektif utama projek itu adalah untuk mewujudkan kawasan selamat kepada orang awam sekiranya berlaku peperangan atau bencana, termasuk ancaman nuklear.

Turkiye ketika ini dilaporkan ketinggalan dari segi infrastruktur perlindungan awam, dengan kebanyakan fasiliti sedia ada tidak memenuhi piawaian asas.

Kementerian Perbandaran dan Perumahan turut menjalankan kajian terhadap model antarabangsa, termasuk sistem perlindungan di Jepun dan Switzerland, bagi memastikan reka bentuk dan kemudahan perlindungan di Turkiye memenuhi keperluan semasa.

Walaupun Peraturan Perlindungan 1987 mewajibkan bangunan bersaiz tertentu mempunyai tempat perlindungan, peraturan itu sering diabaikan, dengan banyak ruang perlindungan diubah menjadi tempat letak kereta atau stor penyimpanan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN