Tentera AS mula berundur dari dua pangkalan utama di Iraq

Tentera AS mula berundur dari dua pangkalan utama di Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Tentera Amerika Syarikat (AS) dilapor mula berundur dari dua pangkalan utama di Iraq, sekali gus menandakan pentadbiran Presiden, Donald Trump serius melaksanakan rancangan untuk menamatkan kehadiran ketenteraan negara itu di wilayah tersebut sejak pencerobohan pada 2003.

Portal berita serantau, Kurdistan 24, melaporkan pengunduran itu bermula secara mengejut pada Ahad dari pangkalan Ain al-Asad di wilayah Anbar dan pangkalan kompleks Victory yang terletak di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.

Menurut laporan itu, proses pengunduran dijalankan secara berperingkat dan kedua-dua pangkalan tersebut dijangka dikosongkan sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari manakala sebahagian anggota tentera dilapor akan dipindahkan ke Erbil, di wilayah autonomi Kurdistan Iraq.

Media tempatan, Shafaq News, pula melaporkan satu konvoi tentera AS dari Ain al-Asad telah bergerak menuju ke Syria, manakala sebahagian lain ditempatkan semula di Erbil.

Langkah ini mengesahkan Washington meneruskan pelan pengunduran yang mula dirancang ketika pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden pada tahun 2024, hasil perjanjian bersama antara AS dan Iraq untuk menamatkan kehadiran tentera negara itu di negara berkenaan.

Mengikut laporan Reuters, pelan berkenaan mensasarkan pengunduran sepenuhnya tentera pakatan yang diketuai AS dari Ain al-Asad di wilayah barat Anbar, serta pengurangan besar-besaran kehadiran mereka di Baghdad menjelang September ini.

Situasi semasa di rantau itu berubah dengan ketara sejak rundingan pada tahun 2024, terutama selepas ketegangan memuncak berikutan serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan konflik serantau.

Sejak itu, militia pro-Iran di Iraq melancarkan lebih 70 serangan ke atas pasukan AS, manakala tentera Amerika turut menjadi sasaran serangan di Jordan.

Pentadbiran Trump yang sememangnya tidak berminat mengekalkan kehadiran jangka panjang di Iraq dilihat mempercepatkan pengunduran ini malah, pada awal tahun ini, Washington turut mula mengurangkan jumlah tenteranya di Syria meskipun mendapat tentangan daripada Israel.

Bagaimanapun, tentera AS dan pasukan pakatan dijangka masih berada di Erbil untuk tempoh setahun lagi sebelum pengunduran sepenuhnya dilaksanakan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN