BANGKOK: Angka korban di utara Thailand akibat tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh Taufan Kajiki meningkat kepada lima orang dengan 15 lagi dilaporkan cedera, ketika ramalan hujan lebat dijangka berterusan sepanjang minggu ini.
Taufan tersebut melanda Vietnam pada Isnin, memaksa puluhan ribu orang berpindah, sebelum melintasi Laos dan utara Thailand membawa hujan lebat.
Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, lima orang terbunuh dan 15 lagi cedera di 12 wilayah di utara Thailand.
Wilayah seperti Nan, Chiang Rai dan Mae Hong Son antara yang paling teruk terjejas, dengan banjir kilat memusnahkan jambatan serta memutuskan hubungan beberapa komuniti.
Sejak Ahad, sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan hilang, manakala lebih 1,800 isi rumah dan 6,300 penduduk terkesan akibat taufan yang semakin lemah menjadi tekanan tropika ketika bergerak ke daratan.
“Paras air dijangka meningkat di beberapa kawasan,” kata agensi bencana itu dalam satu hantaran di Facebook.
Pada Rabu, dua orang maut dalam kejadian tanah runtuh di destinasi pelancongan popular di utara Chiang Mai.
Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan berterusan sehingga minggu depan di kawasan utara, timur laut dan tengah negara itu.
Thailand lazimnya mengalami hujan lebat dari Jun hingga September, namun pakar berkata, perubahan iklim akibat aktiviti manusia mencetus cuaca ekstrem, menjadikan keadaan semakin sukar diramal.
Banjir besar yang melanda seluruh Thailand pada 2011 meragut lebih 500 nyawa dan merosakkan berjuta-juta kediaman di seluruh negara.-AFP