HANOI: Vietnam mengarahkan lebih 586,000 penduduk dipindahkan, menutup sekolah, lapangan terbang dan mengosongkan kawasan berisiko tinggi ketika negara itu bersiap sedia menghadapi Taufan Kajiki yang membawa angin kencang serta gelombang ribut di wilayah timur laut.
Menurut ramalan cuaca, ribut tersebut membawa angin berkelajuan lebih 166 kilometer sejam (km/j) dan dijangka semakin kuat sebelum mendarat.
Penduduk di wilayah tengah termasuk Thanh Hoa, Quang Tri, Hue dan Da Nang diarah meninggalkan kediaman masing-masing dan bot dilarang ke laut.
Taufan itu turut melintasi pulau Hainan di China, di mana agensi cuaca negara itu menjangkakan hujan sehingga 32 milimeter.
Menurut BBC Weather, taufan tersebut dijangka melemah apabila bergerak ke daratan Vietnam, namun masih akan membawa angin sehingga 200km/j dan hujan lebat antara 300 hingga 400mm.
Pihak berkuasa mengarahkan orang ramai di kawasan laluan ribut supaya tidak berada di luar rumah selepas pukul 9 malam pada Ahad dengan tentera dikerahkan untuk membantu.
Vietnam Airlines membatalkan sekurang-kurangnya 22 penerbangan melibatkan bandar-bandar di wilayah tengah pada Ahad dan Isnin.
Pihak berkuasa khuatir bencana kali ini sedahsyat Taufan Yagi pada September tahun lalu yang meragut 300 orang di Vietnam.
Di bandar tepi pantai Vinh, hujan lebat sepanjang malam menenggelamkan jalan raya dengan kebanyakan kedai dan restoran ditutup, manakala penduduk serta pemilik premis meletakkan karung pasir di hadapan pintu masuk masing-masing.
“Saya tidak pernah dengar taufan sebesar ini menghampiri bandar kami. Saya agak takut, tetapi kita perlu terima kerana ia adalah bencana alam dan kita tidak boleh berbuat apa-apa,” kata seorang penduduk, Le Manh Tung, 66, di sebuah stadium sukan tertutup di Vinh yang dijadikan pusat pemindahan.
Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan Vietnam berkata, hujan lebat akan berterusan hari ini dan esok, dengan risiko banjir kilat di sungai-sungai sangat tinggi.