SWEIDA: Ketegangan kembali meningkat di wilayah Sweida apabila kumpulan bersenjata yang dipercayai terdiri daripada anggota komuniti Druze melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan Syria.
Komuniti itu juga didakwa menembak mortar ke beberapa kampung, meskipun gencatan senjata baru diumumkan baru-baru ini.
Menurut laporan media rasmi Syria, sekurang-kurangnya seorang anggota keselamatan terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan tersebut, yang dilabel kerajaan sebagai pelanggaran serius terhadap perjanjian damai.
Insiden ini menyusuli konflik etnik berdarah antara puak Druze dan suku Badwi yang tercetus pada 13 Julai lalu, menyebabkan ratusan kematian dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Sweida, sebuah wilayah yang majoritinya dihuni oleh komuniti Druze dan sebahagian kecil suku Badwi, sudah lama menjadi titik panas ketegangan etnik dan perebutan sumber.
Walaupun kerajaan Syria telah menghantar pasukan tentera ke kawasan terjejas bagi meredakan kekacauan, keganasan terus merebak, malah mencetuskan tindak balas udara oleh Israel ke atas kedudukan tentera Syria berhampiran ibu negara, Damsyik.
“Kumpulan bersenjata ini menggagalkan usaha perdamaian dengan menyerang pasukan keselamatan, walaupun gencatan senjata telah dipersetujui,” ujar jurucakap rasmi kerajaan Syria.
Kumpulan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia melaporkan sekurang-kurangnya empat kematian dalam insiden terbaharu, termasuk tiga anggota tentera dan seorang pejuang tempatan.
Gencatan senjata yang dimediasi Amerika Syarikat (AS) antara Syria dan Israel kini dalam keadaan rapuh.