WASHINGTON: Pentadbiran Presiden, Donald Trump mengesahkan sudah memecat ketua agensi kesihatan awam tertinggi Amerika Syarikat (AS) selepas beliau enggan meletakkan jawatan dalam pertikaian dengan Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr. yang skeptikal terhadap vaksin.
Pertikaian yang semakin memuncak berhubung perubahan besar Kennedy Jr. terhadap dasar vaksin AS turut mengakibatkan lima pegawai kanan lain di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengumumkan peletakan jawatan, menurut kesatuan sekerja yang mewakili sebahagian pekerja agensi itu.
Susan Monarez, seorang saintis kesihatan dan penjawat awam berpengalaman, baru sebulan memimpin CDC apabila Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) pimpinan Kennedy Jr. mengumumkan di laman X yang beliau tidak lagi menjadi pengarah.
Bagaimanapun, peguam Monarez berkata, beliau tidak akan meletak jawatan kerana tidak pernah mengundurkan diri mahupun menerima notis rasmi daripada Rumah Putih mengenai pemecatannya.
Rumah Putih kemudian mengesahkan Monarez sudah dipecat.
“Seperti yang dinyatakan oleh peguamnya, Susan Monarez tidak sehaluan dengan agenda Presiden untuk Menjadikan AS Kembali Sihat.
“Memandangkan Susan Monarez enggan meletak jawatan walaupun telah memaklumkan kepimpinan HHS tentang hasratnya, Rumah Putih telah menamatkan perkhidmatannya di CDC,” kata jurucakap Rumah Putih, Kush Desai dalam satu kenyataan emel kepada AFP.
Namun, peguamnya memberitahu sudah dimaklumkan oleh seorang kakitangan Rumah Putih di pejabat sumber manusia yang beliau dipecat.
“Sebagai pegawai lantikan Presiden yang disahkan Senat, hanya Presiden sendiri yang boleh memecat Monarez.
“Atas sebab itu, kami menolak notis yang diterima beliau sebagai tidak sah dan beliau kekal sebagai Pengarah CDC,” kata peguam Monarez
Dalam kenyataan terdahulu, peguam tersebut menuduh Kennedy Jr. memperalatkan kesihatan awam untuk keuntungan politik dan membahayakan berjuta-juta nyawa rakyat AS.
The Washington Post, yang pertama melaporkan pemecatan Monarez, berkata, Kennedy Jr. menekannya supaya meletak jawatan selepas beliau enggan menyokong perubahan dasar vaksinnya.
Selepas pemecatan itu, lima pegawai kanan CDC menghantar emel peletakan jawatan, menurut kesatuan yang mewakili lebih 2,000 pekerja badan tersebut.
“Ramai yang merasa terpaksa meninggalkan pekerjaan yang mereka cintai kerana tekanan politik. Vaksin menyelamatkan nyawa,” kata Kesatuan AFGE Local 2883 dalam satu kenyataan.
Demetre Daskalakis, yang meletak jawatan sebagai Pengarah Pusat Nasional Imunisasi dan Penyakit Pernafasan CDC turut senada berhubung isu itu.
“Saya tidak mampu berkhidmat dalam suasana yang mempergunakan CDC sebagai alat menghasilkan dasar dan bahan yang tidak mencerminkan realiti saintifik sebaliknya direka untuk memudaratkan, bukannya meningkatkan kesihatan awam,” katanya.
Ketua Pegawai Perubatan CDC, Debra Houry, dan Pengarah Pusat Nasional untuk Penyakit Berjangkit dan Zoonotik agensi itu, Daniel Jernigan turut meletak jawatan, menurut media AS yang memetik nota yang dihantar kepada kakitangan.
Sejak memegang jawatan, Kennedy Jr. mengubah dasar vaksin AS dengan memecat pakar imunisasi terkenal, mengehadkan akses kepada vaksin Covid-19 dan mengurangkan pembiayaan bagi pembangunan vaksin baharu.
Langkah-langkah itu kebanyakannya bercanggah dengan konsensus saintifik dan dikritik oleh pakar luar.
Selepas mendapat pengesahan Senat AS untuk jawatan tertinggi di CDC, Monarez mengangkat sumpah pada 31 Julai yang lalu dengan disaksikan oleh Kennedy Jr.
Pemecatan Monarez berlaku di tengah-tengah krisis di CDC yang berpangkalan di Atlanta selepas badan itu menjadi sasaran serangan bersenjata oleh seorang lelaki pada awal Ogos yang menyalahkan vaksin Covid atas penyakit tidak dinyatakan yang dialaminya.
Ratusan kakitangan dan bekas kakitangan agensi kesihatan itu kemudiannya menandatangani surat terbuka mengecam tindakan Kennedy Jr. dan menuduh beliau membahayakan orang ramai dengan menyebarkan maklumat salah, khususnya mengenai vaksin.-AFP