SYDNEY: Polis Australia sedang memburu seorang lelaki bersenjata berusia 56 tahun yang menembak mati dua pegawai polis dan mencederakan seorang lagi dalam insiden berbalas tembakan di negeri Victoria semalam.
Suspek dikenali sebagai Dezi Freeman, yang menurut media tempatan dipercayai seorang pengikut teori konspirasi yang radikal.
Ketua Polis Victoria, Mike Bush berkata, operasi pencarian diteruskan sepanjang malam dengan kawasan keselamatan diperluas di sekitar lokasi kejadian, sebuah kawasan luar bandar yang menempatkan sebuah rumah dan sebuah bas di bandar kecil Porepunkah, timur laut Victoria.
“Suspek kejadian mengerikan ini masih bebas. Dia sangat berbahaya. Dia telah membunuh dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi.
“Kami menggunakan segala sumber untuk menjejakinya, dan kami mesti menangkapnya,” katanya pada sidang media.
Menurut Bush, pasukan polis memastikan keselamatan pasangan dan anak-anak Freeman, serta menolak kemungkinan situasi tebusan.
Polis percaya suspek memiliki beberapa senjata api berkuasa tinggi.
Insiden berlaku apabila 10 anggota polis hadir ke premis tersebut pagi Selasa untuk melaksanakan waran geledah.
Tembakan dilepaskan ke arah mereka, menyebabkan berlakunya pertempuran singkat yang berlarutan selama beberapa minit.
Seorang detektif berusia 59 tahun dan seorang konstabel kanan berusia 35 tahun maut, manakala seorang lagi pegawai cedera parah tetapi dilaporkan stabil selepas pembedahan.
Bush tidak mendedahkan sebab waran geledah itu, namun mengesahkan ia melibatkan anggota polis tempatan serta unit khas siasatan kesalahan seksual dan jenayah kanak-kanak.
Pencarian dikatakan sukar kerana Freeman dipercayai mahir dengan kemahiran hidup di hutan, sekali gus memberi kelebihan kepada suspek dalam persekitaran yang dikuasainya. -AFP