MADRID: Kebakaran hutan yang berterusan akibat gelombang haba di Eropah menyebabkan jumlah kawasan tanah yang musnah melepasi satu juta hektar tahun ini, sekali gus mencatatkan rekod terburuk dalam tempoh hampir 19 tahun.
Menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), keluasan kawasan yang hangus dijilat api mencatatkan jumlah tertinggi sejak rekod rasmi bermula pada 2006.
Data tersebut mengesahkan, bulan Ogos menyumbang bahagian terbesar daripada peningkatan itu, dengan Sepanyol dan Portugal berdepan pelbagai kebakaran besar.
EFFIS turut menunjukkan kawasan terbakar di Sepanyol meningkat mendadak bermula Ogos, mencecah sekitar 400,000 hektar.
Bagi Portugal pula, jumlah kawasan terbakar tahun ini dianggarkan sekitar 270,000 hektar dengan gelombang haba sepanjang Ogos menjadi punca utama peningkatan mendadak tersebut.
Jumlah pelepasan karbon dioksida di benua itu juga meningkat kepada 38 juta tan, selaras dengan tempoh kebakaran hutan yang masih sukar dikawal.
Kerajaan Sepanyol pada Selasa menyifatkan kebakaran yang melanda kini sebagai antara bencana alam sekitar terburuk dalam beberapa tahun di negara itu, sambil meluluskan langkah-langkah bantuan bagi kawasan terjejas.
Kebakaran yang tercetus di seluruh Sepanyol turut meragut empat nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah.-AGENSI