NEW YORK: Ketua organisasi kemanusiaan Save the Children memberi gambaran menyayat hati mengenai keadaan kanak-kanak yang kebuluran di Gaza, dengan menyatakan mereka kini terlalu lemah untuk menangis.
Bercakap di hadapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dalam satu sesi khas mengenai konflik Israel-Palestin, Presiden Save the Children, Inger Ashing, berkata, kebuluran yang berlaku di Gaza bukan sekadar istilah teknikal, tetapi realiti yang meragut nyawa secara perlahan dan menyakitkan.
“Apabila makanan tidak mencukupi, kanak-kanak mengalami kekurangan zat yang serius dan akhirnya meninggal dunia secara perlahan-lahan. Inilah makna sebenar kebuluran,” katanya.
Ashing menjelaskan dalam keadaan kebuluran, tubuh manusia akan terlebih dahulu membakar lemak untuk bertahan, sebelum akhirnya memakan otot dan organ dalaman apabila simpanan lemak habis.
“Namun begitu, klinik-klinik kami kini hampir senyap. Kanak-kanak tidak lagi mempunyai kekuatan untuk bercakap atau menangis kesakitan.
“Mereka terbaring, kurus kering, menunggu ajal,” katanya.
PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran memang berlaku di Gaza pada minggu lalu, dengan menyalahkan halangan sistematik terhadap bantuan kemanusiaan oleh Israel sepanjang 22 bulan perang.
Satu pemantau makanan yang disokong PBB, Integrated Food Security Phase Classification (IPC), menganggarkan sekitar 500,000 orang di kawasan pentadbiran Gaza termasuk Gaza City terjejas oleh kebuluran.
IPC turut menjangkakan keadaan bertambah buruk dan melibatkan dua per tiga wilayah Gaza menjelang akhir September.
Israel pada Rabu menolak laporan IPC itu dan menggelarnya sebagai ‘rekaan semata-mata’ serta menuntut ia ditarik balik.
Selepas mesyuarat UNSC, 14 daripada 15 negara anggota kecuali Amerika Syarikat (AS), mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan ‘kebimbangan dan kegusaran mendalam’ terhadap pengisytiharan kebuluran itu dan menyatakan sokongan mereka terhadap metodologi IPC.
“Kebuluran sebagai senjata perang adalah dilarang dengan jelas di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Kebuluran di Gaza mesti dihentikan segera,” menurut kenyataan itu.










