Diet Mediterranean turunkan risiko nyanyuk 35 peratus

Diet Mediterranean turunkan risiko nyanyuk 35 peratus

MENGAMALKAN diet Mediterranean secara konsisten mampu mengurangkan risiko demensia sekurang-kurangnya 35 peratus. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASSACHUSETTS: Mengamalkan diet Mediterranean secara konsisten mampu mengurangkan risiko demensia sekurang-kurangnya 35 peratus dalam kalangan individu yang mempunyai dua gen APOE4 iaitu faktor risiko utama penyakit Alzheimer.

Kajian jangka panjang oleh Mass General Brigham, yang diterbitkan dalam jurnal Nature meneliti lebih 5,700 individu selama 34 tahun mendapati mereka yang mengamalkan diet Mediterranean berasaskan sayuran, buah-buahan, kekacang, bijirin penuh, kacang, ikan dan minyak zaitun serta menghadkan pengambilan alkohol, daging merah dan daging proses mencatatkan penurunan ketara risiko dementia.

“Mengamalkan diet Mediterranean bukan sahaja mengurangkan risiko dementia sebanyak 35 peratus malah tahap kepatuhan lebih tinggi kepada diet ini memberi perlindungan tambahan,” kata penulis utama kajian dan penyelidik perubatan di Brigham and Women’s Hospital serta Harvard Medical School, Boston, Yuxi Liu.

Kajian itu turut mengenal pasti penemuan penting lain iaitu individu dengan gen APOE4 mempunyai profil metabolik unik yang memberi tindak balas lebih dramatik terhadap nutrisi sihat dalam diet Mediterranean.

Fungsi metabolik seperti pencernaan nutrien, penghasilan tenaga, serta pembinaan dan pemulihan saraf dan tisu otak amat bergantung kepada kualiti vitamin, enzim, asid amino, karbohidrat dan lemak dalam diet sihat, jelas Liu.

“Peningkatan fungsi metabolik melalui diet mungkin dapat menjelaskan atau sekurang-kurangnya sebahagiannya menjelaskan, pengurangan besar risiko dementia yang kami lihat dalam kajian ini,” katanya sambil menegaskan kajian lanjut diperlukan untuk pengesahan.

Penemuan itu dianggap sebagai satu kejayaan besar oleh pakar neurologi Dr. Richard Isaacson, Pengarah Penyelidikan di Institute for Neurodegenerative Diseases, Florida, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.

“Diharap penemuan ini mampu mengubah tanggapan bahawa mempunyai dua salinan gen APOE4 bermakna seseorang pasti akan menghidap Alzheimer,” katanya.

“Gen bukan penentu mutlak nasib anda. Jika risiko dementia bagi golongan berisiko tertinggi boleh dikurangkan sebanyak 35 peratus hanya dengan diet tertentu, bayangkan kesannya jika kita turut mengawal faktor lain yang boleh diubah suai seperti senaman, tidur, tekanan dan gaya hidup,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN