OSLO: Dana kekayaan negara Norway, yang terbesar di dunia, memutuskan untuk menarik balik pelaburan daripada pengeluar peralatan Amerika Syarikat (AS), Caterpillar Inc, serta lima bank Israel berikutan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.
Menurut kenyataan lembaga eksekutif dana bernilai AS$1.9 trilion (RM8 trilion) itu, keputusan terhadap enam entiti tersebut dibuat selepas menerima nasihat daripada majlis etika, yang menilai syarikat terbabit menyumbang kepada pelanggaran serius hak individu dalam situasi peperangan dan konflik.
Majlis itu berkata, jentolak keluaran Caterpillar digunakan pihak berkuasa Israel bagi memusnahkan harta benda Palestin secara haram dan meluas.
“Kami tidak meragui produk Caterpillar digunakan untuk pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara meluas dan sistematik,” kata kenyataan itu.
Ia turut menegaskan, syarikat berkenaan gagal melaksanakan langkah untuk menghalang penyalahgunaan produknya.
Dalam penilaiannya, majlis etika berkata, tentera Israel menggunakan jentolak keluaran Caterpillar sejak beberapa dekad lalu, dengan hanya jeda singkat antara 2024 dan 2025.
Mesin tersebut dibekalkan kepada Israel melalui program jualan ketenteraan asing AS dan kemudian diubah suai oleh pihak lain untuk tujuan ketenteraan.
Dana tersebut memegang 1.2 peratus pegangan dalam Caterpillar, bernilai AS$2.4 bilion (RM10.14 bilion) setakat 31 Disember.
Ia merupakan tamparan hebat buat syarikat itu yang melaporkan penurunan keuntungan sebanyak 21 peratus dalam pendapatan suku kedua, ketika berdepan kos pembuatan yang tidak menguntungkan akibat tarif lebih tinggi.
Tahun lalu, dana pencen swasta terbesar Norway turut menarik pelaburannya dalam Caterpillar berhubung penglibatan syarikat itu dalam pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Palestin.
KLP yang berpangkalan di Oslo menjual saham dan bonnya dalam syarikat tersebut bernilai AS$69 juta (RM291 juta) pada Jun tahun lalu.
Dana itu turut memaklumkan menarik pelaburan daripada lima bank Israel yang membiayai penempatan haram di Tebing Barat, melibatkan First International Bank of Israel, FIBI Holdings, Bank Leumi, Mizrahi Tefahot dan Bank Hapoalim.- AGENSI