25 negara henti hantar bungkusan ke AS 

25 negara henti hantar bungkusan ke AS 

AUSTRALIA Post turut menyertai deretan negara yang menggantung beberapa penghantaran bungkusan ke AS bermula kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Sekurang-kurangnya 25 negara menggantung penghantaran bungkusan ke Amerika Syarikat (AS) selepas Washington mengumumkan pembatalan pengecualian cukai ke atas bungkusan kecil.

Keputusan pentadbiran Presiden, Donald Trump yang akan berkuat kuasa Jumaat ini mencetus penggantungan perkhidmatan pos di beberapa negara termasuk Perancis, Britain, Jerman, Itali, India, Australia dan Jepun. 

Kebanyakan negara ini tidak akan menerima bungkusan ke AS sehingga ada terma jelas mengenai cara peraturan baharu itu dikuatkuasakan.

Universal Postal Union (UPU), sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, negara anggota memetik ketidakpastian mengenai pelaksanaan perubahan tersebut oleh pihak berkuasa AS dan turut memberi amaran akan berlaku perubahan operasi yang besar bagi pengendali pos di seluruh dunia.

Mulai Jumaat, syarikat penghantar bungkusan diwajibkan untuk memungut cukai kastam daripada pengirim terlebih dahulu bagi pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).

Kementerian Komunikasi India berkata, beberapa proses masih tidak jelas, termasuk pelantikan pihak yang layak untuk mengendalikan pemungutan cukai tersebut.

Pentadbiran Trump menyatakan bungkusan yang bernilai sehingga AS$100 (RM423) dan dihantar sebagai hadiah masih boleh memasuki negara itu tanpa cukai.

Namun barangan melebihi had tersebut akan dikenakan tarif, termasuk 15 peratus bagi barangan dari Kesatuan Eropah (EU) dan 50 peratus bagi barangan dari India.

Syarikat penghantaran Jerman, DHL memberi amaran barangan yang dikecualikan cukai sekalipun akan melalui pemeriksaan tambahan bagi mengelakkan penyalahgunaan untuk tujuan komersial.

Ketua UPU, Masahiko Metoki turut menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Isnin bagi menyampaikan kebimbangan berhubung garis masa pelaksanaan yang terlalu singkat.

Kesatuan itu memberi amaran langkah ini boleh mengganggu e-dagang rentas sempadan yang sedang pesat berkembang dan sedang meneroka penyelesaian jangka panjang bagi memudahkan pemungutan cukai di seluruh rangkaiannya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN