LONDON: Puluhan pesakit dengan berat badan berlebihan dan obes tampil membuat aduan kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom, mendakwa mereka dimalukan oleh doktor kerana saiz tubuh.
Siasatan mendedahkan sekurang-kurangnya 74 aduan dikemukakan kepada pihak pengurusan hospital di seluruh England dalam tempoh 12 bulan lalu. Antara insiden yang dilaporkan termasuk seorang pesakit yang diberitahu oleh doktor bahawa pembedahan akan menjadi rumit kerana dia seolah-olah membawa ‘dua beg pakaian’ bersamanya.
Dalam kes lain, seorang pesakit dilaporkan menerima komen bahawa penglihatannya kabur kerana wajahnya terlalu gemuk. Seorang lagi diberi amaran agar berhati-hati ketika bergolek di atas katil hospital kerana katil itu hanya untuk orang yang kurus.
Malah, seorang doktor turut dikatakan memberitahu pesakit wanita bahawa ‘wanita pertengahan usia yang berlebihan berat badan adalah mimpi ngeri saya’.
Fail aduan tersebut diperoleh menerusi permintaan di bawah Akta Kebebasan Maklumat dan jumlah sebenar insiden dipercayai jauh lebih tinggi memandangkan kebanyakan pihak pengurusan hospital tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar.
Statistik semasa menunjukkan hampir dua pertiga (64 peratus) orang dewasa di UK mempunyai berat badan berlebihan dan satu daripada empat dikategorikan sebagai obes. Berat badan berlebihan meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser, diabetes jenis 2 serta penyakit hati dan paru-paru.
Kerajaan UK kini giat melaksanakan strategi anti-obesity termasuk menerusi kempen kesihatan awam, peluasan perkhidmatan pengurusan berat badan di bawah NHS, penyediaan suntikan penurunan berat badan seperti Mounjaro dan Wegovy serta pelaksanaan cukai tambahan ke atas makanan tidak sihat.
Namun begitu, garis panduan kepada doktor mengesyorkan penggunaan bahasa yang positif serta mengelakkan sebarang kenyataan atau andaian mengenai diet dan gaya hidup pesakit yang boleh ditafsir sebagai penghakiman moral.
Bagaimanapun, sesetengah doktor berpendapat pendekatan berterus terang mampu mendorong pesakit untuk mengambil langkah mengubah gaya hidup mereka.
Pada Mei lalu, bekas peserta program Great British Bake Off, Laura Adlington, 36, turut berkongsi pengalaman buruknya apabila dia dimalukan oleh kakitangan NHS ketika menjalani rawatan kesuburan IVF.
Menurutnya, dia ditimbang di koridor hospital dan dinafikan akses kepada ujian kesuburan kerana berat badannya, menyebabkan dia akhirnya mendapatkan rawatan secara swasta.-AGENSI










