Penduduk gali telaga sendiri, Kabul di ambang kering-kontang - Utusan Malaysia

Penduduk gali telaga sendiri, Kabul di ambang kering-kontang

PENDUDUK Afghanistan membawa tong air menggunakan kereta sorong di sepanjang jalan di kampung Bolak yang dilanda kemarau, di daerah Chahar Bolak, wilayah Balkh. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Kabul kini berdepan krisis air paling serius dalam sejarahnya dan berisiko menjadi ibu negara moden pertama di dunia yang mengalami keadaan keringkontang.

Laporan terkini pertubuhan bukan kerajaan, Mercy Corps, memberi amaran keadaan tersebut boleh mencetuskan kejatuhan ekonomi yang serius untuk Afghanistan.

Menurut pakar, pertumbuhan pesat penduduk, krisis iklim dan pengekstrakan air bawah tanah secara berlebihan menyebabkan paras air merosot dengan mendadak.

Hampir separuh daripada telaga tiub di seluruh bandar dilaporkan kering.

Pengarah Program Mercy Corps Afghanistan, Marianna Von Zahn, menyifatkan krisis berkenaan sebagai kecemasan pelbagai dimensi yang merangkumi lebih daripada sekadar isu kekurangan bekalan air.

“Ini bukan sekadar isu air. Ia adalah krisis kesihatan, krisis ekonomi dan darurat kemanusiaan yang berlaku serentak,” katanya.

GALI TELAGA SENDIRI

Sekitar 30 tahun lalu, populasi Kabul kurang daripada dua juta orang, sehingga ramai penduduk mula berhijrah ke ibu negara selepas kejatuhan rejim Taliban pada 2001, dengan mengharapkan jaminan keselamatan dan peluang ekonomi lebih baik.

Peningkatan jumlah penduduk itu melonjakkan permintaan terhadap bekalan air.

Kabul bergantung hampir sepenuhnya kepada air bawah tanah yang diperoleh daripada pencairan salji dan glasier di pergunungan Hindu Kush berhampiran.

Menurut Mercy Corps, bertahun-tahun pengurusan tidak cekap dan pengekstrakan berlebihan menyebabkan paras air bawah tanah merosot sehingga 30 meter dalam tempoh sedekad lalu.

Laporan turut mendedahkan, Kabul kini mengeluarkan 44 juta meter padu air bawah tanah setiap tahun, melebihi jumlah yang mampu digantikan secara semula jadi.

Sesetengah keluarga seperti Ahmad Yasin, 28, terpaksa menggali telaga lebih dalam demi mendapatkan air bagi mengisi baldi mereka.

Keluarga Yasin terpaksa me­ngikat perut selama enam bulan untuk mengumpul 40,000 Afghanis (RM2,330) bagi menggali telaga di halaman rumah sendiri.

Yasin dan abangnya menggali sehingga 120 meter sebelum berjaya mendapatkan sumber air, meskipun ia tidak selamat untuk diminum.

“Memandangkan semua wang digunakan untuk menggali telaga, kami tidak mampu membeli penapis air atau air yang ditulen.

“Jadi kami terpaksa merebus air itu dalam tempoh lama, biarkan ia sejuk, barulah diminum,” katanya.

BERGANTUNG SYARIKAT SWASTA

Menurut Mercy Corps, sehingga 80 peratus air bawah tanah di Kabul tercemar, kesan daripada penggunaan tandas lubang yang meluas serta pencemaran daripada sisa industri.

Krisis semakin buruk ekoran kelemahan Kabul dalam menghadapi perubahan iklim.

Penyelidik pengurusan sumber air, Najibullah Sadid berkata, negara itu menerima lebih banyak hujan, tetapi semakin kurang salji.

“Ini memberi kesan kepada bandar yang kurang infrastruktur untuk mengawal banjir kilat.

“Dahulunya, salji membantu, tetapi kini jumlahnya berkurang dan menjejaskan penambahan semula air bawah tanah,” katanya.

Jika trend itu berterusan, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) meramalkan Kabul boleh kehabisan air bawah tanah sepenuhnya menjelang 2030.

Bagi mereka yang tidak mampu menggali telaga sedalam ratusan meter, pilihan yang tinggal hanyalah bergantung kepada syarikat swasta atau bantuan sumbangan.

Rustam Khan Taraki membelanjakan sehingga 30 peratus pendapatannya untuk membeli air, kebanyakan daripada penjual berlesen yang menggunakan lori tangki.

Namun, bagi keluarga yang tidak berkemampuan, satu-satunya pilihan ialah berjalan jauh ke masjid yang mempunyai bekalan air.

KETIDAKTENTUAN POLITIK

Selain krisis iklim, pertumbuhan populasi dan pengurusan tidak cekap, krisis air di Kabul turut diperburuk oleh ketidaktentuan politik yang mendalam.

Pengambilalihan kuasa Taliban pada Ogos 2021 selepas hampir dua dekad perang, menjerumuskan negara ke ambang kejatuhan ekonomi apabila bantuan pembangunan dan keselamatan dihentikan serta-merta.

Sejak itu bantuan kemanusiaan melalui pertubuhan bukan kerajaan cuba mengisi kekosongan dengan menyasarkan keperluan segera tanpa melalui kerajaan.

Namun, keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, awal tahun ini untuk menghentikan bantuan asing, menambahkan tekanan kepada negara itu.

Von Zahn berkata, pembekuan dana oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) merupakan antara kesan paling besar.

Menjelang awal 2025, hanya sekitar AS$8 juta (RM33.9 juta) daripada AS$264 juta (RM1.1 bilion) yang diperlukan bagi projek air dan sanitasi disalurkan.

“Apa yang dilihat sekarang adalah gabungan berbahaya, sistem tempatan lumpuh, pembiayaan dibekukan dan ketegangan serantau meningkat, sedangkan rakyat Afghanistan terus berdepan krisis parah setiap hari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN