ISLAMABAD: Hujan monsun lebat dan banjir kilat telah meragut sekurang-kurangnya 66 nyawa dan mencederakan 127 yang lain di seluruh Pakistan sejak 26 Jun, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) pada hari Sabtu.
NDMA mengesahkan dua kematian tambahan dan 10 kecederaan akibat kejadian berkaitan hujan sejak dua hari lalu, ketika cuaca ekstrem terus melanda bahagian negara itu.
Menurut NDMA, kematiab paling tinggi dilaporkan dari barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, di mana 24 orang, termasuk 11 kanak-kanak, kehilangan nyawa.
Empat belas daripada mereka hanyut dalam banjir kilat di Lembah Swat minggu lalu.
Di Punjab, 22 orang, termasuk 11 kanak-kanak, terbunuh apabila hujan lebat menyebabkan rumah runtuh dan banjir kilat. Sindh melaporkan 15 maut, manakala lima maut di Balochistan.
Tiga kecederaan turut dilaporkan di Azad Jammu dan Kashmir.
Di tengah-tengah hujan lebat yang berterusan, Jabatan Meteorologi Pakistan meramalkan lebih banyak hujan dan ribut petir dalam tempoh 48 jam akan datang di beberapa wilayah. – XINHUA