WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Iran dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata menerusi platform Truth Social.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera AS di Qatar namun dipintas pihak berkuasa negara itu.
“TAHNIAH KEPADA SEMUA! Sudah dipersetujui sepenuhnya antara Israel dan Iran akan berlangsung satu GENCATAN SENJATA SEPENUHNYA DAN MENYELURUH (kira-kira 6 jam dari sekarang, setelah Israel dan Iran menamatkan dan menyelesaikan misi terakhir mereka yang sedang berlangsung!), selama 12 jam, dan pada ketika itu PERANG AKAN DIANGGAP TAMAT!
“Secara rasmi, Iran akan memulakan GENCATAN SENJATA, dan selepas 12 jam, Israel pula akan memulakan GENCATAN SENJATA, dan selepas 24 jam, PENGAKHIRAN RASMI PERANG 12 HARI akan diraikan oleh seluruh dunia. Sepanjang tempoh GENCATAN SENJATA, pihak yang satu lagi akan kekal AMAN DAN MENGHORMATI.
“Dengan andaian segala-galanya berjalan seperti yang dirancang dan ia akan berlaku, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, kerana menunjukkan ketahanan, keberanian, dan kebijaksanaan untuk menamatkan apa yang patut dikenali sebagai “PERANG 12 HARI.”
“Ini adalah perang yang boleh berlarutan selama bertahun-tahun, dan boleh menghancurkan seluruh Asia Barat tetapi ia tidak berlaku, dan tidak akan berlaku! Semoga Tuhan memberkati Israel, semoga Tuhan memberkati Iran, semoga Tuhan memberkati Asia Barat, semoga Tuhan memberkati Amerika Syarikat, dan SEMOGA TUHAN MEMBERKATI DUNIA!,” tulis Trump.










