WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjangkakan Iran dan Israel akan mencapai perdamaian dalam masa terdekat, menurut satu hantaran media sosial yang dimuat naik pada Ahad.
Kenyataan itu hadir susulan serangan balas antara kedua-dua negara yang mengorbankan ramai nyawa sejak malam Sabtu.
“Iran dan Israel sepatutnya membuat perjanjian dan mereka akan melakukannya. Kita akan capai keamanan tidak lama lagi,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya tanpa memberikan butiran lanjut mengenai sebarang rundingan atau kemajuan yang dicapai.
Jangkaan Trump itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berkata kempen ketenteraan terhadap Iran akan terus diperhebat.
Dalam satu temu bual pada Ahad, Trump turut berkata bahawa kemungkinan masih terbuka untuk AS terlibat secara langsung dalam konflik antara Iran dan Israel sambil menyatakan kesediaannya menerima Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai orang tengah dalam rundingan damai.
“Kemungkinan kita akan terlibat dalam konflik ini tetap ada. Tetapi buat masa ini, AS belum terlibat dalam sebarang tindakan ketenteraan,” katanya kepada wartawan ABC News.
Mengenai peranan Putin sebagai perantara, Trump berkata pemimpin Russia itu telah bersedia dan mereka turut berbual panjang tentang hal itu menerusi satu panggilan telefon.
Jurucakap Rumah Putih setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung bagaimana pentadbiran Trump bercadang meredakan ketegangan di Asia Barat.
Trump yang sering menggambarkan dirinya sebagai pendamai turut mengeluh kerana tidak menerima pengiktirafan sewajarnya dalam usaha menyelesaikan konflik antarabangsa lain termasuk antara India dan Pakistan.
“Saya banyak buat kerja, tapi langsung tak diberi pujian. Tak mengapa, rakyat faham. Mari jadikan Asia Barat hebat semula!” katanya.









