Trump desak Teheran kembali berunding, relevankah usaha diplomasi AS-Iran?

Trump desak Teheran kembali berunding, relevankah usaha diplomasi AS-Iran?

TRUMP masih mahu berundingan dengan Iran mengenai pembangunan program nuklearnya walaupun situasi sukar diramal. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan pintu masih terbuka untuk melaksanakan rundingan diplomasi dengan Iran, namun dunia tertanya-tanya adakah usaha tersebut masih relevan dan mampu terlaksana selepas serangan udara AS terhadap kemudahan nuklear republik Islam itu.

Ketika bercakap di sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di The Hague, Trump sekali lagi memuji serangan yang diarahkannya terhadap tiga lokasi nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan pada 22 Jun lalu, dengan yakin mendakwa tiada tentera lain di dunia yang mampu melakukannya.

Kenyataan itu hadir selepas laporan sulit daripada Agensi Perisikan Pertahanan AS (DIA) yang bocor menyatakan serangan itu tidak memberi impak signifikan terhadap program nuklear Iran.

Namun, Trump tetap mempertahankan kenyataannya yang program nuklear Iran sudah dihapuskan sepenuhnya, malah semalam, Pengarah perisikan Negara, Tulsi Gabbard memetik perisikan ‘baharu’ untuk menyokong dakwaan itu.

Ketika perselisihan semakin meningkat mengenai impak sebenar serangan itu terhadap program nuklear Teheran, beliau malah dengan yakin memberi bayangan perjanjian baharu dengan negara itu bakal dimeterai.

Trump berkata, pegawai AS dan Iran akan bertemu tidak lama lagi, menyambung semula dialog yang terganggu oleh perang hampir dua minggu, tetapi mengakui tidak mengharap hasil yang memberangsangkan.

“Kita akan berbincang dengan Iran minggu hadapan dan mungkin akan menandatangani perjanjian.

“Tetapi saya tidak peduli sama ada saya akan memeterai perjanjian atau tidak kerana Iran sudah rosak teruk dan tidak mampu untuk mempertimbangkan pembinaan semula program nuklearnya.

Mereka tidak akan melakukannya lagi. Mereka sudah lumpuh,” katanya.

PERJANJIAN KABUR

Kesediaan Iran untuk ke meja rundingan dan bentuk perjanjian yang bakal dimeterai masih sukar diramal tetapi pakar berpendapat, diplomasi kekal sebagai satu-satunya pilihan yang realistik ketika ini.

Hampir 10 tahun lalu, wakil-wakil dari AS, China, Perancis, Jerman, Russia, United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU) dan Iran bertemu di Vienna untuk memuktamadkan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), yang lebih dikenali sebagai Perjanjian Nuklear Iran.

Sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan, Iran bersetuju menghadkan pengayaan uranium kepada 3.7 peratus dan menyimpan hanya 300 kilogram (kg) uranium, jumlah yang tidak mencukupi membina bom nuklear dan hanya untuk menjana elektrik.

Arkitek kepada perjanjian ini ialah bekas Presiden AS, Barack Obama yang percaya diplomasi berprinsip dan kesediaan AS berunding secara langsung dengan Iran membuka ruang kepada kejayaan usaha ini.

Namun, perjanjian itu dimusnahkan oleh Trump sendiri ketika penggal pertamanya sebagai Presiden apabila beliau memilih menarik diri secara sepihak daripada JCPOA dan mengenakan semula sekatan terhadap Iran.

Walaupun pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mendapati Iran mematuhi syarat-syarat perjanjian tersebut, Trump mendakwa Iran berunding dengan niat tidak baik dan perjanjian itu terlalu memihak kepada negara tersebut.

Minggu ini, selepas serangan mengejut Israel terhadap program nuklear Iran yang turut disertai oleh Trump, prospek untuk menghidupkan semula mana-mana perjanjian dengan Teheran menjadi sesuatu yang di luar jangkauan.

Pensyarah Bidang Sejarah Universiti San Marcos California, Prof. Madya Ibrahim Al-Marashi berkata, rakyat Iran yang sebelum ini tidak ambil peduli soal nuklear mungkin akan menyokong pembinaan senjata sebagai bentuk pertahanan diri, setelah melihat kemudahan mereka dibom walaupun masih berada di bawah pemantauan IAEA.

“Apabila negara-negara yang mematuhi pemeriksaan dan undang-undang antarabangsa tetap diserang, ia merosakkan struktur insentif yang menyokong Perjanjian Pemencaran Senjata Nuklear (NPT), yang diratifikasi oleh Iran pada tahun 1970 dan disahkan pada tahun 1996.

“Mengapa perlu menandatangani perjanjian atau membenarkan pemeriksa antarabangsa masuk jika ia tidak melindungi anda daripada paksaan ketenteraan? Ini adalah mesej yang sangat berbahaya,” katanya.

Namun, sesetengah penganalisis percaya pendekatan baharu terhadap perjanjian nuklear AS-Iran masih mampu diusahakan dengan memperbaiki kelemahan terma-terma dalam JCPOA.

“Perjanjian 2015 itu, walaupun tidak sempurna, berjaya mengecilkan sebahagian besar program nuklear Iran dan meletakkannya di bawah rejim pemeriksaan yang paling ketat di dunia.

“Tetapi ia adalah satu-satunya jalan yang pernah berjaya sebelum ini dan satu-satunya jalan yang mungkin mampu berjaya sekali lagi dengan beberapa penyesuaian penting.

“Seperti yang dihujahkan oleh Arab Saudi dan ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ketika itu, JCPOA dirangka secara rahsia tanpa rundingan bersama negara-negara tersebut dan tidak cukup tegas,” jelasnya.

Pendapat sama turut dikongsi bekas Duta United Kingdom (UK) ke Arab Saudi, Iraq dan Syria, John Jenkins yang berpendapat, perjanjian nuklear baharu mesti dirangka dengan penglibatan langsung negara-negara Teluk yang paling terdedah akibat kegagalan diplomasi tersebut.

“Pentadbiran Obama, diikuti oleh gabungan keselamatan UK, Jerman dan Perancis (E3), nampaknya beranggapan setelah perjanjian itu ditandatangani, ia adalah satu pencapaian yang begitu hebat sehingga mereka boleh beralih kepada perkara lain sepenuhnya. Itu adalah satu kesilapan.

“Kali ini ia perlu dilakukan secara berbeza. Kini terdapat peluang untuk membina semula perintah keselamatan baharu di rantau ini dengan melibatkan negara-negara serantau sejak dari awal pembentukannya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN