WASHINGTON: Rumah Putih menegaskan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) kekal dalam kedudukan ‘pertahanan’ di Asia Barat, walaupun berlaku peningkatan ketenteraan susulan perang Israel dan Iran.
Kenyataan pada Isnin dibuat selepas amaran mengejut Presiden AS, Donald Trump supaya mengosongkan Teheran, sekali gus mencetuskan spekulasi Washington mungkin bersedia menyertai Israel dalam menyerang Iran.
Spekulasi semakin memuncak apabila Trump segera meninggalkan sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada dan kembali ke Rumah Putih sehari lebih awal berikutan situasi konflik di Asia Barat.
Namun, pegawai Rumah Putih dan Pentagon sekali lagi menegaskan pasukan tentera AS di rantau itu masih berada dalam kedudukan pertahanan.
Jurucakap Rumah Putih, Alex Pfeiffer, dalam hantaran dalam media sosial menafikan dakwaan AS sedang menyerang Iran.
“Pasukan tentera AS berada dalam kedudukan pertahanan, dan situasi masih tidak berubah,” katanya.
Perkara sama turut ditegaskan oleh Ketua Pentagon, Pete Hegseth, menerusi satu temu bual secara langsung di Fox News.
“Kami berada dalam kedudukan pertahanan di rantau ini, untuk menjadi kuat, dalam usaha mencapai perjanjian damai dan sememangnya berharap itu akan berlaku,” kata Hegseth.
Terdahulu, Hegseth mengarahkan ‘penempatan keupayaan tambahan’ ke Asia Barat sepanjang hujung minggu.
“Melindungi tentera AS adalah keutamaan kami dan penempatan ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan di rantau tersebut,” tulisnya di platform X.
Hantaran media sosial itu dibuat selepas kapal pengangkut pesawat USS Nimitz dikesan meninggalkan Asia Tenggara pada Isnin, di tengah laporan mengenai puluhan pesawat tentera AS sedang menuju ke seberang Atlantik.
Pergerakan satu daripada kapal perang terbesar dunia itu berlaku pada hari keempat serangan udara yang semakin memuncak antara Israel dan Iran, tanpa sebarang petanda akan reda walaupun terdapat desakan antarabangsa.
PENUTUPAN SELAT HORMUZ
Ketegangan yang semakin memuncak antara Israel dan Iran menimbulkan kebimbangan baharu dunia mengenai risiko penutupan Selat Hormuz, laluan perairan sempit yang menjadi nadi kepada ekonomi tenaga global.
Susulan serangan Israel terhadap kemudahan minyak Iran dan kenyataan keras Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, Iran memberi amaran untuk mempertimbangkan penutupan selat itu.
Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS, Selat Hormuz adalah laluan transit minyak paling penting di dunia, dengan hampir 20 peratus daripada jumlah penggunaan petroleum cecair global atau sekitar 17 juta tong sehari, melalui kawasan itu.
Penutupan sepenuhnya Hormuz akan memberi kesan serta-merta kepada harga minyak dunia, dengan gangguan bekalan juga meningkatkan kos penghantaran, insurans dan logistik global.
Ini akan mencetuskan gelombang inflasi dari AS hingga ke Jepun, dan memberi tekanan tambahan kepada negara membangun yang sudah pun bergelut dengan beban ekonomi pasca pandemik.
Walaupun negara seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai laluan paip alternatif ke Laut Merah dan Teluk Oman, majoriti eksport minyak dari Teluk masih bergantung kepada Selat Hormuz.
ISRAEL TIDAK TERJEJAS
Sejarah membuktikan walaupun penutupan sepenuhnya sukar dilaksanakan, ancaman sekecil gangguan pun sudah cukup untuk menggoncang pasaran global.
Bagaimanapun, Israel, selaku negara yang mencetuskan gelombangan ketegangan baharu, tidak akan terjejas secara langsung kerana seluruh bekalan minyak mentahnya diimport melalui Laut
Mediterranean daripada negara seperti Azerbaijan, AS dan Brazil.
Tetapi, bagi pengguna tenaga besar seperti China, India, Jepun dan Eropah, gangguan di Hormuz boleh menjejaskan bekalan tenaga, memaksa mereka mencari sumber alternatif.










