WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, mengakui terdapat sedikit keraguan mengenai tahap kerosakan pada loji nuklear Iran akibat pengeboman AS hujung minggu lalu.
Keraguan itu dinyatakan selepas satu laporan penilaian bocor dari Pentagon menyatakan program nuklear Iran hanya dapat ditangguhkan selama beberapa bulan.
“Risikan itu sangat tidak konklusif,” kata Trump kepada wartawan semasa sidang kemuncak Perikatan Atlantik Utara (NATO) di The Hague.
Trump kemudian sekali lagi menegaskan kerosakan pada loji nuklear itu sangat teruk dan ‘sudah musnah sepenuhnya’.
Beliau berkata, kenyataan itu adalah kesimpulan daripada risikan yang dilakukan dan yakin memaklumkan program nuklear Iran akan tertangguh selama berdekad-dekad.
Trump juga menyamakan penggunaan bom bunker oleh tentera negara ini ketika menyerang tapak pengayaan uranium Fordow dan Natanz dengan bom atom yang digugurkan AS di Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia Kedua.
“Penggunaan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki itu terbukti menamatkan perang dunia,” katanya.
Trump turut menyangkal dakwaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai stok uranium Iran sebanyak 400 kilogram yang diperkaya hingga 60 peratus tidak lagi dapat dikesan dan dipercayai sudah dipindahkan.
Awal minggu ini, Naib Presiden JD Vance turut mengakui AS tidak tahu di mana uranium yang itu berada, dan menyatakan ia akan menjadi topik perbincangan dengan Iran.









