TEHERAN: Iran membatalkan pusingan rundingan nuklear seterusnya dengan Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan berlangsung semalam di Oman susulan serangan Israel.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi kepada Al Jazeera.
Kerajaan Oman turut mengesahkan pembatalan rundingan tersebut manakala seorang pegawai kanan AS memberitahu agensi berita Associated Press walaupun rundingan itu tidak diteruskan, AS komited kepada proses dialog dan berharap Iran akan kembali ke meja rundingan.
Iran menyatakan usaha meneruskan rundingan nuklear tidak lagi wajar memandangkan serangan berterusan Israel. Teheran turut menuduh Washington menyokong tindakan ketenteraan rejim Zionis itu.
“AS bertindak dengan cara yang menjadikan rundingan tidak bermakna. Anda tidak boleh mendakwa mahu berunding tetapi dalam masa sama membenarkan Zionis menyerang Iran,” kata jurucakap Kementerian Luar, Esmaeil Baghaei.
Pada Jumaat lalu, Israel melancarkan serangan ketenteraan terbesar terhadap Iran dan Teheran membalas dengan menyasarkan kedudukan strategik tentera Israel di rantau itu.
Presiden AS, Donald Trump menyifatkan serangan Israel terhadap Iran sebagai ‘cemerlang’ meskipun beliau sebelum ini memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu agar tidak mengambil tindakan yang boleh menggagalkan rundingan nuklear.
Iran berulang kali menegaskan pengayaan uraniumnya bukan membangunkan senjata nuklear, sekali gus menolak dakwaan Israel mengenai Teheran hasilkan senjata pemusnah.










