NEW DELHI: Sebuah pesawat penumpang milik Air India yang membawa lebih 200 penumpang terhempas berhampiran kawasan Meghaninagar di Ahmedabad, menurut pihak polis.
Menurut laporan awal, kejadian melibatkan sebuah pesawat Boeing 787-8 Dreamliner dalam perjalanan ke London membawa seramai 230 penumpang dan 12 anak kapal.
Pesawat itu terhempas berhampiran Forensic Cross Road, tidak jauh dari lapangan terbang utama bandar itu.
Pesawat tersebut terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmedabad sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan), kata pihak polis.
“Penerbangan AI171, yang beroperasi dari Ahmedabad ke London Gatwick, terlibat dalam satu insiden hari ini. Buat masa ini, kami sedang mendapatkan maklumat lanjut dan akan berkongsi perkembangan seterusnya secepat mungkin,” kata Air India dalam satu kenyataan.
Maklumat lanjut mengenai jumlah korban atau punca nahas belum dapat disahkan.
“Kami sedang mendapatkan maklumat berkaitan jumlah mangsa. Pasukan kecemasan termasuk polis dan bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian,” menurut Bilik Kawalan Polis Negeri.
Ketua Menteri Gujarat, Bhupendra Patel turut mengarahkan operasi menyelamat dan bantuan dijalankan secara intensif, serta menyediakan rawatan perubatan segera kepada mangsa yang cedera.
Beliau turut mengarahkan pihak pentadbiran supaya segera menyediakan koridor hijau bagi mempercepatkan pemindahan mangsa ke hospital dan mengutamakan semua keperluan perubatan.-AGENSI