Kenyataan Trump, perisik bercanggah mengenai kerosakan loji nuklear Iran - Utusan Malaysia

Kenyataan Trump, perisik bercanggah mengenai kerosakan loji nuklear Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengulangi dakwaannya mengenai kemudahan nuklear Iran telah “dimusnahkan” dalam serangan udara terbaharu AS, sambil merujuk kepada kenyataan pihak Israel sebagai pengesahan terhadap operasi ketenteraan itu.

“Israel baru sahaja menyatakan tapak nuklear telah DIMUSNAHKAN! Terima kasih kepada juruterbang B-2 kita yang hebat, dan semua yang terlibat,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

Namun begitu, laporan awal penilaian perisikan yang didedahkan CNN sehari sebelumnya menunjukkan sebaliknya.

Menurut sumber yang dipetik CNN, puluhan bom telah digugurkan ke atas tapak tersebut, tetapi tidak berjaya memusnahkan komponen utama seperti mesin penggempar dan stok uranium yang telah diperkaya.

Dua individu yang arif dengan penilaian itu turut memaklumkan bahawa simpanan uranium Iran kekal utuh.

Namun pada Rabu, beberapa jam selepas kenyataan Trump, Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, Tulsi Gabbard pula menulis di platform X (dahulunya Twitter): “Perisikan baharu mengesahkan apa yang telah dinyatakan Presiden berulang kali: kemudahan nuklear Iran telah dimusnahkan.”

Sebelum ini, Gabbard sendiri pernah menjadi sasaran kritikan Trump apabila beliau mencadangkan bahawa tiada bukti kukuh Iran sedang membina senjata nuklear – satu kenyataan yang bertentangan dengan pendirian White House ketika ini.

Serangan udara terbaru AS ini telah meningkatkan lagi ketegangan serantau, di tengah kebimbangan antarabangsa terhadap potensi tercetusnya konflik berskala besar antara AS, Iran dan sekutunya di Asia Barat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×