Iran sudah tawar hati dengan AS

Iran sudah tawar hati dengan AS

KENDERAAN melalui kawasan Dataran Enghelab berlatarkan sepanduk gergasi pasukan ketenteraan di Teheran, Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran menafikan dakwaan pihaknya akan menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) selepas berakhirnya perang 12 hari dengan Israel, sambil menuduh Washington memperbesar-besarkan kesan serangan ketenteraan terhadap fasiliti nuklearnya.

Konflik paling serius antara Iran dan Israel setakat ini menggagalkan sebarang kemajuan dalam rundingan nuklear antara Teheran dan Washington.

Kelmarin Presiden AS, Donald Trump dengan nada yakin berkata, perbincangan akan diadakan minggu depan, dengan utusannya, Steve Witko menyatakan harapan untuk mencapai perjanjian damai secara menyeluruh.

Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menolak dakwaan tersebut dan menyifatkanya sebagai ‘spekulasi’ yang tidak wajar dipercayai.

“Saya ingin nyatakan dengan jelas, tiada sebarang persetujuan, persiapan atau perbualan yang
dibuat untuk memulakan rundingan baharu. Tiada sebarang rancangan yang ditetapkan untuk usaha itu,” katanya menerusi siaran televisyen rasmi negara.

Penafian itu dibuat ketika Parlimen Iran meluluskan satu rang undang-undang baharu yang
mengarahkan penangguhan kerjasama dengan Agensi TenagaAtom Antarabangsa (IAEA) selepas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menuduh Trump membesar-besarkan kesan serangan AS terhadap tapak nuklear Iran.

Dalam ucapan pertamanya selepas gencatan senjata bermula, Khamenei memuji apa yang disifatkannya sebagai kemenangan Iran terhadap Israel, sambil menegaskan pihaknya tidak akan
tunduk kepada tekanan AS.

Beliau turut menyifatkan tindakan Washington sebagai satu ‘tamparan yang memalukan’.

“Presiden AS membesar-besarkan kejadian secara luar biasa, dan ternyata beliau amat memerlukan naratif itu,” ujarnya.

Khamenei menolak dakwaan AS yang program nuklear Iran kini terjejas selama berdekad dan menegaskan serangan tersebut tidak memberi kesan signifikan kepada infrastruktur nuklear Iran.

Namun Araghchi mengakui terdapat kerosakan serius dan menyatakan satu penilaian terperinci sedang dijalankan di lokasi-lokasi berkenaan.

TIADA YANG MENGALAH

Trump sebelum ini mendakwa fasiliti penting Iran termasuk tapak pengayaan uranium bawah tanah di Fordow berjaya dihapuskan sepenuhnya oleh pesawat pengebom B-2 milik AS.

Dalam catatan di platform Truth Social miliknya, Trump menolak dakwaan Iran sempat memindahkan uranium diperkaya sebelum serangan.

“Tiada apa yang dibawa keluar, terlalu berbahaya dan sangat berat serta sukar untuk dialihkan! Imej satelit menunjukkan terdapat lori di tapak tersebut kerana kakitangan Iran cuba melindungi kawasan itu dengan konkrit,” katanya.

Semua pihak yang terlibat dalam perang 12 hari itu masing-masing mengisytiharkan kemenangan mereka.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkannya sebagai ‘kemenangan bersejarah’, manakala Khamenei mendakwa tindak balas peluru berpandu Iran hampir menyebabkan kejatuhan Israel.

Sementara itu, pentadbiran Trump dilaporkan membincangkan rancangan membantu Iran mendapatkan akses membina program nuklear tenaga awam, melonggarkan sekatan dan membebaskan berbilion dolar dana yang kini dibekukan untuk membawa Teheran kembali ke meja rundingan.

Beberapa butiran dikatakan turut diperincikan dalam satu mesyuarat rahsia selama berjamjam antara utusan khas AS, Steve Witko dan rakan-rakan dari negara Teluk di White House Jumaat lalu, sehari sebelum serangan udara AS terhadap Iran.

Menurut CNN, antara terma yang dibincangkan dan belum pernah dilaporkan sebelum ini ialah pelaburan dianggarkan sehingga AS$30 bilion (RM126.86 bilion) dalam program nuklear
baharu Iran tanpa pengayaan uranium, yang hanya akan digunakan untuk tujuan tenaga awam.

Pegawai pentadbiran Trump dan sumber lain yang mengetahui cadangan itu berkata, dana tersebut tidak akan datang secara langsung daripada AS, sebaliknya mengharapkan rakan negara Arab lain untuk menanggung kos berkenaan.

RAKYAT LEGA

Di Teheran, lebuh raya utama menghala ke ibu kota kembali sibuk, dipenuhi kenderaan membawa keluarga, beg pakaian dan harapan untuk pulang ke rumah dengan selamat.

Walaupun keresahan masih menyelubungi, kehidupan di Teheran mula menunjukkan tanda-tanda pulih apabila syarikat sudah mengarahkan pekerja masuk ke pejabat dan kedai-kedai yang sebelum ini sunyi kini dipenuhi semula.

Perkara sama turut dirasai seorang pereka gra k, Nika, 33, yang berlindung di rumah saudara di Zanjan, kira-kira 286 kilometer dari Teheran.

“Pulang ke rumah selepas beberapa hari melarikan diri terasa seperti berada di syurga. Tetapi saya tak tahu sama ada gencatan senjata ini akan kekal atau tidak,” katanya.

Seorang pelajar universiti, Saba, 26, yang turut bekerja secara sambilan berkata, ramai penduduk terpaksa meninggalkan urusan seharian mereka dalam keadaan mengejut ketika perang tercetus dan kini berharap dapat kembali hidup dengan tenang.

“Peperiksaan ditunda, tempat kerja minta kami bekerja dari rumah, dan semua rakan saya mula meninggalkan bandar. Saya rasa sangat sunyi ketika itu. Waktu siang saya sibukkan diri, tetapi
waktu malam apabila mendengar bunyi bom dan pertahanan udara, saya tidak mampu menipu diri lagi,” katanya.

Tanpa kenderaan sendiri, ayahnya datang dari kampung halaman mereka di Quchan untuk menjemput dan membawanya pulang ke rumah keluarga, namun selepas gencatan senjata diumumkan, Saba kembali ke Teheran.

“Melihat orang lain turut kembali, kafe dan restoran mula dibuka semula, jalan-jalan kembali hidup, semua ini buat hati saya lega,” katanya.

Pemuzik terkenal Iran, Keyvan Saket pula hanya mengetahui rumahnya dibom ketika berada di sebuah bandar berhampiran.

Peluru berpandu yang mengenai rumahnya tidak meletup, namun kerosakan teruk menyebabkan dia tidak dapat memasuki rumahnya buat sementara waktu.

“Sebaik sahaja kami dibenarkan masuk, pemandangan di dalam amat menyedihkan.

Pintu dan tingkap pecah, dinding rumah runtuh dan peralatan rumah seperti mesin basuh serta
peti sejuk rosak teruk. Malah pintu besi juga kemek.

“Saya benci peperang sepenuh jiwa dan raga. Perang adalah ciptaan manusia yang paling buruk,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Iran, perang selama 12 hari yang dicetuskan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 627 orang, dan mencederakan 1,481 yang lain, lebih 90 peratus daripadanya orang awam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN