DOHA: Iran melancarkan enam peluru berpandu terhadap beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di Qatar.
AFP melaporkan, letupan boleh didengari di seluruh Doha termasuk di bandar Lusail pada malam Isnin, sejurus selepas Qatar mengumumkan menutup ruang udaranya berikutan serangan AS terhadap Iran.
Saksi awam memberitahu mereka melihat ‘lintasan cahaya di langit malam’, sementara siren mula kedengaran di lokasi yang dipercayai diserang.
Amaran keselamatan turut dilaporkan berada di tahap tertinggi buat masa ini.
Perkembangan itu adalah susulan ancaman Iran untuk membalas serangan AS ke atas tapak nuklearnya, lapor Reuters.
Agensi berita itu turut melaporkan saksi mendengar bunyi letupan di sekitar Doha, mencetuskan kebimbangan berhubung potensi ketegangan yang semakin memuncak di rantau Teluk.
Sebelum ini, ada laporan yang memetik ada ancaman terhadap pangkalan Udara Al Udeid di Qatar sejak tengah hari Isnin.
Namun, tiada pengesahan atau maklumat terkini berhubung ancaman berikut.
Reuters turut melaporkan bahawa sistem pertahanan udara di pangkalan udara Ain al-Asad di Iraq sebagai langkah berjaga-jaga susulan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan.
Kementerian Pertahanan Qatar dalam kenyataan berkata, pihaknya bersedia sepenuhnya menangani sebarang ancaman yang mungkin timbul.
Qatar juga memaklumkan tiada yang terkorban dilaporkan setakat ini susulan serangan tersebut.










