TEHERAN: Israel dan Iran telah melakukan gelombang baru serangan ke atas bandar-bandar utama, mencetuskan kebimbangan perang berterusan habis-habisan, dengan kedua-dua pihak bertukar-tukar serangan yang kini memasuki hari ketiga.
Peluru berpandu Iran menyerang utara Israel, membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan 13 yang lain, lewat Sabtu hingga Ahad, menurut media Israel.
Israel menyasarkan ibu pejabat Kementerian Pertahanan Iran di Teheran awal Ahad, menurut agensi berita separuh rasmi Tasnim.
Pegawai Iran juga berkata, depot minyak Shahran, di barat laut Tehran, telah diserang oleh Israel.
Tasnim News berkata, pasukan operasi dan penyelamat tiba di tempat kejadian dan masih berusaha untuk memadamkan kebakaran.
Saluran 13 Israel melaporkan bahawa peluru berpandu mengenai Haifa dan Tamra.
Serangan ke atas Haifa telah dijangka secara meluas, kerana bandar pantai itu menempatkan infrastruktur gas strategik.
Penganalisis berpendapat ini menandakan permulaan pembalasan yang dijanjikan Iran untuk pengeboman Israel ke atas tapak tenaga utama berhampiran Bushehr dan Abadan.
Walaupun sokongan awam meluas untuk tindakan ketenteraan terhadap Iran, ramai rakyat Israel masih ragu-ragu.
Bercakap kepada Al Jazeera, penganalisis politik Israel, Ori Goldberg berkata terdapat kebimbangan dan ketidakpercayaan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk.
“Terdapat sokongan besar-besaran untuk ‘mengajar’ Iran – itu naratif rasmi,” katanya.
“Tetapi orang ramai tidak percaya serangan ini akan memusnahkan program nuklear Iran atau membawa perubahan rejim. Mereka mula berjuang sendiri.”
Goldberg menambah bahawa ramai yang mengesyaki motif politik di sebalik kempen itu, mencadangkan pemimpin mungkin menggunakan krisis untuk meningkatkan kedudukan mereka.
“Tiada kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan untuk melindungi orang awam,” katanya. “Orang ramai berasa ditinggalkan.”
Berikutan serangan Israel ke atas Iran, wartawan Al Jazeera di Teheran berkata, asap kelihatan naik dari depoh minyak Shahran di Tehran berikutan serangan Israel, walaupun tahap keseluruhan kerosakan masih belum jelas.
“Dikatakan pusat penyimpanan minyak menjadi sasaran, tetapi tahap kerosakan tidaklah seberapa,” lapornya.
Beliau menambah bahawa pertahanan udara Iran telah diaktifkan di ibu negara sejurus selepas serangan itu.
“Saya melihat pemintasan. Bunyi letupan kedengaran,” katanya.
Wartawan terbabit menyifatkan pengeboman berterusan Israel ke atas tapak nuklear, tentera dan awam di seluruh Iran sebagai “belum pernah berlaku sebelum ini”, memberi amaran bahawa perkembangan itu mungkin akan mencetuskan peningkatan selanjutnya. – Al Jazeera