TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyatakan kesediaan Teheran untuk menghentikan serangan balas terhadap Israel sekiranya rejim Zionis menghentikan serangan ke atas wilayah Iran, lapor agensi berita Anadolu.
Dalam pertemuan bersama para duta asing di Teheran, Araghchi menegaskan konflik yang sedang berlaku adalah “perang yang dipaksakan” ke atas Iran dan negara itu tidak mempunyai pilihan lain selain bertindak balas demi mempertahankan diri.
“Pertahanan kami adalah sah sepenuhnya dan akan dilaksanakan dengan tegas, semata-mata sebagai tindak balas terhadap pencerobohan. Jika serangan dihentikan, tindakan balas Iran juga akan dihentikan,” katanya.
Ketegangan antara Iran dan Israel memuncak sejak serangan udara besar-besaran dilancarkan Israel ke atas beberapa sasaran di Tehran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear pada Jumaat lalu, yang disusuli dengan serangan balas oleh Iran hanya beberapa jam kemudian.
Pada malam Sabtu, Iran melancarkan gelombang kedua operasinya yang dinamakan ‘True Promise III’ dengan mensasarkan infrastruktur ekonomi dan industri di bandar pelabuhan Haifa an dalam masa yang sama, Israel membalas dengan mengebom Kementerian Pertahanan dan beberapa depot minyak di Teheran.
Menurut pihak berkuasa Iran, serangan pada hari pertama telah mengorbankan 78 nyawa, manakala puluhan lagi termasuk kanak-kanak maut dalam gelombang serangan kedua.
Dalam pada masa yang sama, Araghchi turut menuduh Amerika Syarikat (AS) sebagai dalang di sebalik serangan Israel, dengan mendakwa tindakan Israel tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama dan sokongan dari Washington.
Beliau turut memetik kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang berkata serangan itu tidak mungkin berlaku tanpa kelengkapan Amerika serta memberi bayangan terdapat peringkat seterusnya yang akan menyusul, sebagai bukti keterlibatan negara tersebut.
Mengulas mengenai penafian Washington terhadap penglibatan mereka dalam serangan ke atas kemudahan nuklear Natanz di wilayah Isfahan, Araghchi berkata Teheran tidak menerima alasan tersebut kerana wujud bukti-bukti yang bercanggah.
“Jika AS benar-benar tidak terlibat, mereka harus mengecam serangan ini secara terbuka dan jelas. Isyarat peribadi semata-mata tidak mencukupi,” tegas beliau.
Araghchi memaklumkan Iran telah memohon secara rasmi kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan serangan Israel ke atas Natanz, yang disifatkannya sebagai “garisan merah” dalam undang-undang antarabangsa yang telah dilanggar rejim tersebut. -AGENSI









