WASHINGTON: Selepas United Kingdom (UK), kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat (AS), USS Nimitz meninggalkan Laut China Selatan pada Isnin dan kini dalam perjalanan menuju ke Asia Barat.
Tindakan itu dilakukan ketika perang antara Israel dan Iran semakin memuncak, menurut laporan Newsweek yang dipetik oleh agensi Anadolu.
Kehadiran kapal tersebut ke kota Danang, Vietnam yang dijadualkan minggu ini dibatalkan dengan alasan keperluan operasi mendesak, menurut kenyataan Kedutaan AS di Hanoi.
Selepas pembatalan itu, data penjejakan kapal mengesahkan USS Nimitz bergerak ke arah barat menuju ke Asia Barat.
USS Nimitz baru sahaja menamatkan operasi keselamatan maritim di Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada kehadiran rutin Armada Pasifik AS di Indo-Pasifik.
Lebih 30 pesawat tangki pengisian bahan api milik Tentera Udara AS dilaporkan berlepas dari pangkalan tentera AS dan terbang ke arah timur merentasi Lautan Atlantik, menurut laporan beberapa media pertahanan.
AS sehingga kini menafikan penglibatan mereka dengan Israel, namun masih membantu negara haram itu memintas peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran.
Presiden Donald Trump sebelum ini menegaskan apa yang berlaku antara Israel dan Iran tidak mempunyai kaitan dengan AS, namun Washington mempunyai peranan penting dalam mengakhiri perang tersebut.
Trump juga berharap rundingan nuklear antara AS dengan Iran kembali berlangsung dengan harapan Teheran menamatkan program nuklearnya.
Langkah penempatan semula pasukan AS ini berlaku ketika konflik Israel-Iran semakin memburuk sejak Jumaat lalu, apabila Israel melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap beberapa lokasi penting di Iran.
Israel menyatakan 24 rakyatnya terbunuh dan ratusan cedera dalam serangan peluru berpandu Iran sejak Jumaat.










