Gaza umpama medan 'Squid Game' sebenar

Gaza umpama medan ‘Squid Game’ sebenar

SUKARELAWAN Palestin mengawal trak bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan Zikim yang dikawal Israel, di barat Beit Lahia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Seorang lelaki Palestin dari Gaza menggambarkan pengalaman mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan tajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai hari paling sukar dalam hidupnya, menyamakan situasi itu dengan drama bersiri Korea Selatan, ‘Squid Game’, di mana nyawa menjadi taruhan demi kelangsungan hidup.

Bapa kepada tujuh anak, Yousef al-Ajouri, 40, menceritakan detik getir yang dialaminya kepada wartawan Palestin, Ahmed Dremly dari portal Middle East Eye ketika beliau nekad menuju ke pusat agihan bantuan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) di Jalan Salah al-Din, berhampiran koridor Netzarim.

“Anak-anak saya penat menangis setiap hari kerana kelaparan. Mereka mahukan roti, nasi, kacang atau apa sahaja yang boleh dimakan,” kata Yousef, yang kini tinggal bersama isteri, anak-anak serta ibu bapanya di sebuah khemah di kawasan al-Saraya di Gaza City, selepas rumah mereka di kem pelarian Jabalia musnah dibom pada Oktober 2023.

Sebelum perang, Yousef bekerja sebagai pemandu teksi. Namun, sekatan Israel dan kekurangan bahan api memaksanya untuk berhenti bekerja dan menjadi pelarian. 

Demi anak-anaknya, Yousef terpaksa membuat keputusan untuk ke pusat bantuan walaupun mengetahui risiko besar yang bakal dihadapi.

Bermula sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan), 18 Jun lalu, Yousef dan rakannya, Khalil Hallas menyertai perjalanan ke pusat GHF menaiki tuk-tuk yang sesak bersama 17 penumpang lain. 

Mereka bergerak ke Nuseirat dan kemudian berjalan kaki hampir satu kilometer dalam gelap tanpa sebarang lampu bagi mengelak dikesan penembak tepat Israel.

Pada satu ketika, berlaku tembakan bertalu-talu di sekeliling mereka, menyebabkan kumpulan itu terpaksa bersembunyi di belakang sebuah bangunan yang musnah.

“Kami merangkak di kawasan terbuka. Sesiapa yang bergerak akan ditembak serta-merta oleh penembak tepat.

“Di sebelah saya, seorang pemuda cuba menggunakan lampu pada telefon bimbitnya. Yang lain menjerit meminta dia segera mematikannya. Beberapa saat kemudian, dia ditembak, rebah dan mati di situ,” katanya.

Yousef turut melihat sekurang-kurangnya enam mayat lain terbaring, manakala mangsa yang cedera cuba berpatah balik. 

“Saya sangat takut, tetapi saya sudah terlalu jauh untuk berpatah balik. Anak-anak saya lapar,” katanya lagi.

Berebut makanan

Tepat pukul 2 pagi (waktu tempatan), lampu hijau menyala dari jauh menandakan pusat bantuan sudah dibuka dengan ribuan orang dari pelbagai arah meluru ke arah lokasi itu termasuk wanita dan warga emas.

“Saya sangka saya antara yang terawal, tetapi sudah ribuan berada di hadapan. Saya tertanya-tanya, adakah mereka dibenarkan masuk lebih awal oleh tentera? Atau mereka juga mengambil risiko yang sama seperti saya? ” katanya.

Yousef nekad mara ke hadapan dalam kesesakan luar biasa, namun dia sempat menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang hampir dipijak oleh orang ramai. 

“Saya mula mencari kotak bantuan dan mengambil beg yang terasa seperti beras. Tetapi dengan pantas seorang lelaki merampasnya dari tangan saya.

“Saya cuba bertahan, tetapi dia mengancam untuk menikam saya dengan pisaunya. Kebanyakan orang di sana membawa pisau, sama ada untuk mempertahankan diri atau mencuri daripada orang lain.

“Ada yang merayu meminta orang lain untuk berkongsi. Tetapi tiada siapa yang mampu melepaskan apa yang mereka berjaya perolehi,” katanya.

Yousef berkata, dia akhirnya berjaya meraih empat tin kacang, satu kilogram bulgur dan setengah kilogram pasta.

“Dalam beberapa saat, kotak-kotak itu kosong. Kebanyakan orang di sana, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua, tidak mendapat apa-apa.

“Malah karton kosong dan palet kayu turut diambil untuk digunakan sebagai kayu api untuk memasak.

“Mereka yang tidak mendapat apa-apa mula mengutip tepung dan bijirin yang tumpah di tanah, cuba menyelamatkan apa yang jatuh semasa keadaan huru-hara itu,” katanya.

Tentera Israel memerhati sambil ketawa

Pemandangan paling menyedihkan bagi Yousef ialah apabila dia melihat sekumpulan tentera Israel tidak jauh dari lokasi sedang merakam video orang awam yang berebut makanan sambil ketawa.

“Saya teringat babak dari rancangan Squid Game. Seolah-olah nyawa kami hanya satu permainan hiburan bagi mereka.

“Kami dibunuh bukan sahaja oleh senjata mereka tetapi juga oleh kelaparan dan penghinaan, sementara mereka memerhatikan kami dan ketawa.

“Saya mula tertanya-tanya adakah mereka masih merakam kami? Adakah mereka sanggup menonton semula kegilaan ini tanpa rasa simpati? Melihat bagaimana sesetengah orang mengalahkan orang lain, manakala yang paling lemah tidak mendapat apa-apa? ” katanya sebak.

Beberapa minit selepas bantuan habis diagih, bom asap merah dilepaskan sebagai isyarat untuk mengosongkan kawasan, diikuti dengan tembakan rambang bertubi-tubi.

Yousef dan Khalil segera menuju ke Hospital al-Awda di Nuseirat, selepas seorang rakan mereka cedera. 

Di hospital, mereka dikejutkan dengan lebih 30 jenazah terbaring, semuanya ditembak di kepala dan dada semasa cuba mendapatkan bantuan pada hari sama.

“Mereka keluar untuk membawa pulang makanan, tetapi kembali sebagai mayat. Saya tak dapat menahan air mata. Mengapa kami dipaksa mati hanya untuk memberi makan kepada anak-anak kami? ” ujarnya.

Yousef pulang ke khemah dengan perasaan hampa dan anak-anaknya kecewa kerana hasil yang dibawa tidak mencukupi. 

Namun bagi Yousef, pengalaman itu meninggalkan luka yang sangat dalam, rasa penghinaan dan trauma yang tidak mampu diungkapkan.

“Saya tidak akan ulangi perjalanan itu lagi. Ia hari paling sukar dalam hidup saya. Saya amat berharap bantuan selepas ini dapat disalurkan secara bermaruah, tanpa pembunuhan dan penghinaan seperti itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN