TEHERAN: Parlimen Iran pada Rabu meluluskan usul untuk menggantung kerjasama dengan Badan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) selepas perang selama 12 hari yang menyaksikan kemudahan nuklear Iran diserang oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS), lapor televisyen kerajaan.
“IAEA, yang enggan mengecam walaupun secara simbolik serangan terhadap kemudahan nuklear Iran, telah menggadaikan kredibiliti antarabangsa mereka,” kata Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf, seperti yang dipetik oleh TV rasmi.
Usul itu masih memerlukan kelulusan Majlis Penjaga Perlembagaan, badan yang bertanggungjawab menilai dan meluluskan undang-undang di Iran
Jika diluluskan, Ghalibaf berkata Pertubuhan Tenaga Atom Iran akan menggantung kerjasamanya dengan IAEA sehingga keselamatan kemudahan nuklear dapat dijamin.
Menurut siaran TV, seramai 221 ahli parlimen mengundi menyokong usul tersebut, seorang berkecuali dan tiada yang membantah dalam dewan yang mempunyai 290 kerusi.
Ahli Parlimen Alireza Salimi menjelaskan bahawa penggantungan kerjasama itu bermakna pemeriksa IAEA tidak akan dibenarkan memasuki kemudahan nuklear Iran kecuali mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, menurut agensi berita ISNA.
Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran pada 13 Jun yang menyasarkan kemudahan nuklear Iran serta membunuh beberapa pegawai kanan tentera dan saintis nuklear negara itu.
Pada Ahad lalu, AS turut melancarkan serangan udara ke atas kemudahan nuklear di Fordow, Isfahan dan Natanz sebelum gencatan senjata dipersetujui pada Selasa.
TV kerajaan turut melaporkan bahawa selepas undian usul itu, ahli-ahli parlimen melaungkan slogan “Mati kepada Amerika” dan “Mati kepada Israel”.
Sejak perang bermula, pegawai tinggi Iran berulang kali mengkritik IAEA kerana gagal mengecam serangan yang dilancarkan oleh Israel ke atas program nuklear negara itu.










