Zionis luaskan serangan di Gaza dalam tempoh 24 jam - Utusan Malaysia

Zionis luaskan serangan di Gaza dalam tempoh 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Tentera Israel melancarkan serangan ‘meluas’ di Semenanjung Gaza sejak 24 jam lalu sebagai sebahagian daripada peringkat awal serangan baharu terhadap wilayah Palestin yang dikepung itu.

Menurut kenyataan dalam bahasa Arab yang dikeluarkan melalui Telegram, tentera Israel berkata serangan berkenaan adalah sebahagian daripada pengembangan pertempuran di Semenanjung Gaza.

Matlamat mereka ialah mencapai semua objektif peperangan, termasuk pembebasan tebusan dan mengalahkan Hamas.

Agensi pertahanan awam Gaza sebelum ini melaporkan bahawa serangan Israel dalam tempoh 24 jam sebelum ini mengorbankan 100 orang.

Operasi baharu itu, dikenali sebagai ‘Operation Gideon’s Chariots’, dilancarkan ketika Israel berdepan tekanan menamatkan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai pertukaran kepada pembebasan tebusan AS-Israel oleh Hamas.

Israel menyambung semula serangan ketenteraan di Gaza pada 18 Mac selepas gencatan senjata selama dua bulan dalam peperangan menentang Hamas yang tercetus susulan serangan oleh kumpulan Palestin itu pada Oktober 2023.

Serangan itu mengorbankan 1,218 mangsa di pihak Israel, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Media Israel melaporkan pada Jumaat tenteranya telah meningkatkan serangan sejajar dengan pelan yang diluluskan kerajaan awal bulan ini, walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai perluasan kempen itu.

Tentera memaklumkan bahawa pasukannya telah menyerang lebih 150 sasaran pengganas di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN