WASHINGTON: Satu kajian terbaharu mendapati kadar kesuburan minimum yang selama ini dipercayai mencukupi untuk mengekalkan populasi dunia sebenarnya tidak lagi memadai.
Selama ini, konsensus umum menyatakan kadar kesuburan 2.1 anak bagi setiap wanita diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan populasi sesebuah negara namun, kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal PLOS One mendedahkan kadar tersebut mungkin jauh lebih rendah daripada yang sepatutnya.
Kajian tersebut mencadangkan kadar kesuburan sebenar yang diperlukan bagi mengelakkan kepupusan jangka panjang adalah 2.7 anak bagi setiap wanita dan para penyelidik menjelaskan unjuran terdahulu tidak mengambil kira faktor-faktor penting seperti kadar kematian, nisbah jantina, kemungkinan individu dewasa yang tidak beranak, dan ketidaktentuan saiz keluarga.
“Dengan mengambil kira ketidaktentuan dalam kadar kesuburan dan kematian serta nisbah jantina, kadar kelahiran yang lebih tinggi daripada paras penggantian standard adalah perlu bagi memastikan kelangsungan populasi manusia,” kata Diane Cuaresma, seorang daripada pengarang kajian tersebut.
Kajian itu menyatakan krisis kekurangan populasi bukan sahaja mengancam aspek ekonomi dan sosial, bahkan membawa kesan kepada kelangsungan bahasa, tradisi budaya, dan warisan keluarga yang pelbagai.
Kajian tersebut menyebut kadar kesuburan global menurun secara mendadak daripada 5.3 pada era 1960-an kepada hanya 2.3 pada tahun 2023.
Korea Selatan kekal sebagai negara dengan kadar kesuburan paling rendah di dunia, iaitu hanya 0.87 manakala beberapa negara seperti Niger dan Chad masih mencatat kadar kesuburan melebihi lima anak bagi setiap wanita.
Di United Kingdom (UK) pula, kadar kelahiran juga menunjukkan penurunan drastik di mana angka terbaharu menunjukkan semua kawasan pihak berkuasa tempatan di England dan Wales mencatatkan penyusutan kadar kesuburan dalam tempoh sedekad lalu, dengan sesetengah kawasan mengalami kejatuhan sebanyak 60 peratus sejak 2013.