Usaha tangani ketidaktentuan ekonomi jadi keutamaan- PM Singapura

Usaha tangani ketidaktentuan ekonomi jadi keutamaan- PM Singapura

LAWRENCE WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Perdana Menteri, Lawrence Wong menegaskan keutamaan utama pentadbirannya dalam penggal baharu adalah menangani ketidaktentuan ekonomi yang boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat Singapura.

Bercakap kepada media selepas kemenangan besar Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) semalam, beliau menjelaskan meskipun kadar inflasi semakin menurun, situasi ekonomi yang perlahan boleh menjejaskan pendapatan rakyat dan memburukkan beban kewangan harian.

“Jika ekonomi perlahan, ini akan memburukkan lagi kebimbangan tentang kos sara hidup, walaupun inflasi sedang menurun. Apabila pendapatan turut terjejas akibat kelembapan ekonomi, rakyat akan lebih terasa tekanan kewangan,” jelasnya.

Wong menekankan bahawa pendekatan pemerintah bukan sekadar tertumpu kepada pemberian rebat atau baucar semata-mata, tetapi merangkumi strategi ekonomi yang lebih luas, termasuk dasar berkaitan pekerjaan, peningkatan pendapatan, dan kestabilan pasaran buruh.

“Kami sedang meneliti keseluruhan situasi ekonomi dan bersedia dengan pelan-pelan simpanan yang boleh diaktifkan jika perlu.

“Kami mengambil pendekatan menyeluruh, bukan hanya memberi bantuan kewangan, tetapi juga memastikan pekerjaan terus wujud, pendapatan meningkat dan ekonomi kekal dinamik. Ini semua sebahagian daripada usaha mengurangkan beban hidup rakyat,” katanya.

Wong mendapat mandat kukuh selepas PAP pimpinannya berjaya memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.

Malah, kemenangan PAP kali ini dianggap satu kemenangan besar dengan parti itu menerima undi sebanyak 65.57 peratus, sekitar empat mata peratusan lebih tinggi daripada 61.24 peratus dalam GE2020.

Sementara itu, Parti Pekerja (WP) akan ditawarkan dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), memandangkan calonnya di Jalan Kayu SMC dan Tampines GRC mempunyai peratusan undi tertinggi dalam kalangan calon yang tewas.

Pendatang baharu WP, Andre Low, 33, tewas kepada Ketua Buruh, Ng Chee Meng, 56, dengan 48.53 peratus undi di Jalan Kayu, manakala pasukan WP di Tampines mendapat 47.37 peratus pula tewas dalam pertembungan empat penjuru kepada PAP.

Skim NCMP yang diperkenalkan pada 1984 menjamin sekurang-kurangnya 12 Ahli Parlimen pembangkang dalam Parlimen.

Memandangkan terdapat 10 Ahli Parlimen pembangkang yang dipilih dalam pilihan raya kali ini, akan ada dua kerusi NCMP.

Ia sama seperti Pilihan Raya Umum 2020, apabila dua kerusi tersebut diberikan kepada Leong Mun Wai dan Hazel Poa dari Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Dengan keputusan pilihan raya umum terbaharu, landskap politik Parlimen ke-15 akan menyaksikan penyertaan hanya dua parti, PAP dan WP, berbanding tiga parti dalam penggal terdahulu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya